Sunday, November 6, 2016

Doa Ketika Berasa Marah

Apabila berasa marah atau perasaan marah menguasai dirimu, ucapkanlah kalimah ta'awwuz (تعوذ):
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجيـمِ
Maksudnya: "Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam."
[Hisnul Muslim, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani, Doa ketika marah]
Semoga kamu beroleh kesabaran dan berupaya mengawal emosimu.
Kalimah ini diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat Baginda, tatkala melihat pertelingkahan di antara dua orang lelaki:
وعن سليمان بن صرد رضي الله عنه قال: كُنْتُ جَالِسًا مَعَ النَّبيَّ صلى الله عليه و سلم وَرَجُلآن يستبان وَأحَدٌهماقداحمروجهه وانتفخت اوداجه، فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إنِّي لأعلم كلمة لو قالها لذهب عنه ما يجد, لو قال: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجيـمِ ذهب عنه ما يجد ، فقالواله: إنَّ النَّبيَّ صلى الله عليه و سلم قال تَعَوَّذْبالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجيـمِ
Daripada Sulaiman Bin Surd Radiyallahu anhu katanya: “ Ketika aku duduk bersama-sama Nabi SAW, dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah muka dan tegang pula urat lehernya.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku ajarkan satu kalimah sekiranya dibaca tentu hilang apa sahaja yang dirasakannya (rasa marah) iaitu Ia mengatakan, “ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجيـمِ “ (aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya.”
Maka mereka pun berkata kepadanya (orang yang merah muka) bahawasanya Nabi SAW bersabda: berlindunglah kepada Allah daripada syaitan yang direjam.
[Muttafaqun ‘alaih]
[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Riyadh Al Solihin, Imam An-Nawawi, Bab Sabar]
Islam menganjurkan perdamaian, maka leraikanlah pertelingkahan daripada dua pihak jika kamu mlihatnya kerana ianya merupakan tuntutan syariat. Ucapkanlah kalimah ta’awwuz jika kamu berasa marah untuk mendapatkan kesabaran dan mengawal emosi.
Moga kita dapat beramal dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW dan istiqamah dengan amalan itu sebagai panduan dan petunjuk dalam menjalani kehidupan ini. Beramallah dengan amalan yang ma’thur daripada Rasulullah SAW semoga amalan kita itu diterima oleh Allah SWT sebagai amal yang soleh.
Sampaikan kepada orang-orang di sekeliling kita supaya mereka juga dapat beramal dengan amalan ini dan mudah-mudahan ianya menjadi ilmu yang bermanfaat kepada kita.
Iman, Ilmu, Faham dan Amal, semoga kita istiqamah, Insha Allah.
Abu Durrah
06 November 2016M
06 Safar 1437H
Bangi

Monday, August 1, 2016

Doa Ketika Ditimpa Musibah

Ummu Salamah atau nama asalnya Hindun Binti Abi Umayyah Al-Mughirah Al-Makhzumiyah adalah Ummul Mukminin kerana telah berkahwin dengan Rasulullah SAW.
Ketika suaminya Abu Salamah (Abdullah bin Abdul Al-Asad) meninggal dunia, Ummu Salamah sangat sedih kerana Abu Salamah merupakan suami yang baik dan tidak mungkin ada seseorang yang lebih daripada suaminya itu menurut pandangannya. Lalu Rasulullah SAW mengajarkannya doa ini:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْراً مِنْهَا
Maksudnya: "Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali. Ya Allah, berikanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya." [Riwayat Muslim]
[Hisnul Muslim, Doa ditimpa musibah, Sheikh Dr. Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Ada juga riwayat yang mengatakan doa ini dilafazkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang didengar oleh Abu Salamah dan mengajarkannya kepada Ummu Salamah beberapa ketika sebelum kematiannya.
[Lihat Hayatus Sahabah, Kisah Penderitaan Ummu Salamah, As Sheikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi]
Beberapa masa berlalu Sayidina Abu Bakar meminangnya namun ditolak oleh Ummu Salamah kemudiannya Sayidina Umar Al-Khatab masuk meminangnya juga ditolak oleh Ummu Salamah.
Kemudian Rasulullah SAW meminangnya ,
Kata-kata Ummu Salamah saat ia dilamar oleh Rasulullah SAW:
“ Ya Rasulullah, aku ini seorang wanita yang sangat cemburu, aku takut engkau melihat dariku sesuatu yang tidak kau sukai hingga kelak Allah akan mengazabku kerananya. Aku seorang wanita yang sudah berusia dan aku mempunyai anak-anak.”
Lalu dijawab oleh Rasulullah SAW:
“Adapun yang kau sebutkan tentang cemburu, Allah akan menghilangkannya darimu. Sedangkan usia, aku pun berusia sepertimu. Dan tentang anak-anak, anak-anakmu adalah anak-anakku.”
Ini menurut salah satu daripada beberapa riwayat berkenaan Ummu Salamah dan pernikahannya dengan Rasulullah SAW.
Pinangan Rasulullah SAW ini diterimanya maka Allah telah memakbulkan doanya menggantikan seseorang yang lebih baik daripada bekas suaminya Abu Salamah iaitu Baginda Rasulullah SAW.
[Lihat Hayatus Sahabah, Pernikahan Rasulullah SAW dengan Ummu Salamah, As-Sheikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi]
Semoga kita dapat sama-sama mengamalkan doa yang ma'thur daripada Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan kita seharian.
Moga Allah kurniakan kita istiqamah dalam beramal, Insha Allah.
Abu Durrah
02 Ogos 2016M
28 Syawal 1437H
Bangi

Tuesday, June 7, 2016

Tazkirah : Berbuka Puasa

Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian ketika berbuka puasa agar kita dapat optimumkan keberhasilan ibadah puasa ini dalam usaha kita menggapai kedudukan taqwa di sisi Allah SWT.
Antara perkara sunat yang dituntut ketika berbuka puasa ialah:
1. Menyegerakan berbuka puasa setelah diyakini masuknya waktu (tenggelamnya matahari).
Sahal bin Sa’ad radiyallahu anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْر
Maksudnya: “Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagimana mereka terus menyegerakan berbuka.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
[Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji, Bab Puasa, Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustafo Al-Bugho, Ali Asy-Syarbaji]
[Lihat Azhar Haji Yahya, Bab Puasa , Al-Mu’amad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, Karya asal Prof Dr. Muhammad Mustafa al-Zuhaily]
2. Disunatkan berbuka puasa dengan memakan kurma (basah atau kering) atau dengan beberapa teguk air ( segelas). Anas radiyallahu anhu meriwayatkan, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُْفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ , فَإِنْ لَمْ يَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاء
Maksudnya: “Rasulullah SAW berbuka sebelum solat (maghrib) dengan beberapa biji kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan kurma kering. Sekiranya tidak ada juga, maka Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci.”
[Riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi dan Darulqutni]
[Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji, Bab Puasa, Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustafo Al-Bugho, Ali Asy-Syarbaji]
[Lihat Azhar Haji Yahya, Bab Puasa , Al-Mu’amad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, Karya asal Prof Dr. Muhammad Mustafa al-Zuhaily]
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
3. Berdoalah ketika berbuka.
Seorang sahabat yang bernama Abdullah bin ‘Amr seringkali menjemput keluarga dan anak-anaknya untuk sama-sama berdoa ketika berbuka.
Di antara lafaz doa ketika atau sesudah berbuka yang dianjurkan berdasarkan hadith Rasulullah SAW adalah seperti berikut: Daripada Ibnu 'Abbas radiyallahu anhu, Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا ، فَتَقَبَّلْ مِنَّا ، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ
Maksudnya: "Ya Allah keranaMu, kami berpuasa. Dengan rezekiMu, kami berbuka. Terimalah ibadah (puasa) kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
[Riwayat Al-Darulqutni]
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
Daripada Ibnu ‘Umar, Rasulullah SAW menyebut:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat saraf dan tetaplah ganjaran Insha Allah (sekiranya dikehendaki Allah)."
[Riwayat Abu Dawud]
Ada pendapat mengatakan doa ini dibaca ketika selesai berbuka puasa seperti yang dinukilkan oleh Dr Wahbah al-Zuhaily di dalam tafsirnya.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
[Lihat Hisnul Muslim, Doa Ketika Berbuka Puasa, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Manakala Ibnu Majah meriwayatkan bacaan lafaz doa daripada 'Abdullah bin 'Amr:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلِّ شَيْءٍ، أَنْ تَغْفِرَ لِي
Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu supaya Engkau mengampunkan kesalahanku."
[Riwayat Ibnu Majah, menurut al-Hafiz dalam takhrij al-Azkar : Hasan]
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 186 & 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
[Lihat Hisnul Muslim, Doa Ketika Berbuka Puasa, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
4. Menyediakan, memberi atau menjamu makan kepada orang yang berbuka puasa.
Ini menurut hadith riwayat Ibnu Majah daripada Zaid bin Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَاءِمًا ، كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِمْ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْأً
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia mendapat ganjaran yang setara dengan pahala puasa orang itu, tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun.”
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
Semoga sedikit perkongsian ini dapat kita sama-sama ambil manfaatnya dalam menambahbaik dan meningkatkan taraf ibadah puasa kita. Berdoalah agar Allah menerima ibadah puasa kita ini sebagai amalan soleh kita di sisi-Nya dan boleh kita jadikan bekalan apabila kita bertemu Allah SWT di suatu masa kelak.
Semoga bermanfat dan selamat beramal dengan istiqamah.
Abu Durrah
07 June 2016M
02 Ramadhan 1437H
Bangi

Sunday, June 5, 2016

Kelebihan Berpuasa

Orang yang beriman yang berpuasa mendapat keistimewaan di sisi Allah SWT. Berpuasa dengan niat semata-mata kerana Allah SWT serta penuh dengan keikhlasan, maka segala kerja buatnya untuk mencapai matlamat puasa itu akan diredhai oleh Allah SWT yang akan mengganjari hamba-Nya itu dengan darjat taqwa. Di antara keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang-orang beriman yang berpuasa ialah doanya dikabulkan. Maka hendaklah kita sentiasa memperbanyakkanlah doa ketika mana kita sedang berpuasa.
Seruan berdoa di dalam antara ayat-ayat berkenaan kefardhuan berpuasa Ramadhan menunjukkan Allah menggalakkan hamba-Nya berdoa bersungguh-sungguh selepas berakhir tempoh puasa dan juga ketika berbuka.
Imam Abu Daud al Tayalisi di dalam Musnadnya meriwyatkan hadith daripada 'Abdullah bin 'Amr katanya:
لِلصَّاءِمِ عِنْدَ إِفِطْارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
Maksudnya: "Orang yang berpuasa mendapat satu peluang doa makbul ketika berbuka"
Manakala Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadith ini dengan lafaz berikut:
إِنَّ لِلصَّاءِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةً مَاتُرَدُّ
Maksudnya: "Orang yang berpuasa mendapat satu kesempatan peluang doa yang tidak ditolak sewaktu berbuka"
Ketika berbuka, 'Abdullah bin 'Amr akan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي آَسْألُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَلِي
Maksudnya: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang melimpahi segalanya agar Engkau mengampuni dosaku"
Disebut di dalam Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa'i dan juga Sunan Ibnu Majah, diriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَا ثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ ; الاءِمَامُ الْعَادِلُ ، وَالصَّاءِمُ حَتَّى يُفْطِرَ ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ ; يَرْفَعُهَا اللَّهُ دُونَ الْغَمَامِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، وَتُفْتَحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاء ، وَيَقُولُ; بِعِزَّتِي لأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْبَعْدَحِينٍ
Maksudnya:"Tiga orang (yang) doa mereka tidak akan ditolak: (Doa) pemimpin yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan (doa) orang yang teraniaya. Pada hari kiamat, Allah akan mengangkat doa orang yang teraniaya ke langit tanpa dilindungi awan. Pintu langit dibuka untuk menyambut doa itu. Lalu Allah bertitah: "Demi kemuliaanKu, Aku pasti akan menolongmu, walau selepas sekian lama masa berlalu."
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan huraian ayat 186 & 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah Al Zuhayli]
Maka yang demikian itu, perbanyakkanlah berdoa ketika mana kamu sedang berpuasa terutama di waktu menghampiri berbuka dan ketika bersahur. Justeru jangan sia-siakan ibadah puasa ini dengan tidak banyak berdoa apatah lagi berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini dan sedia maklum akan kelebihan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Ini kerana berdoa itu merupakan manifestasi tahap 'ubudiyyah yang terpenting kita kepada Allah SWT dan inilah pendapat jumhur ulama'.
Semoga bermanfaat dan selamat beramal dengan istiqamah.
Abu Durrah
05 June 2016M
01 Ramadhan 1437H
Bangi

Monday, May 2, 2016

Kekeliruan Antara Jihad Paling Besar Dan Jihad Kecil

Apa yang menjadi kekeliruan adalah ungkapan yang disebarkan yang dikatakan hadith Rasulullah SAW;
رَجَمْنَا مِنَ الْجِهَادِ الَأ صْغَرِ اِلَئ الْجِهَادِ الَا كْبَرِ قَالُواك وَمَا الْجِهَادُ الَأ كْبَرُ؟ هَادُ القَالَ ; جِهَادٌ الْقَلبِ أَوْ جِنَّفسِ
"Kita kembali dari jihad yang kecil dan memasuki jihad yang besar" Mereka bertanya :"Apakah jihad yang besar itu?" Ia menjawab:"Jihad hati atau jihad (menentang nafsu)."
Ini bukan hadith tetapi athar sahabat iaitu ucapan Ibrahim bin 'Ablah. Menurut Al Imam Syahid Hassan Al Banna di dalam risalah jihad, sesetengah orang menggunakan ungkapan ini bagi memalingkan orang ramai daripada mengambil berat tentang peperangan dan menentang kemungkaran serta persediaan ke arah itu, memalingkan niat serta istiqamah di jalannya sedangkan ianya bukanlah hadith sahih tetapi athar.
Al Imam Hafiz Ibnu Hajar Al Askolani di dalam 'Tasdid Al Qaus' mengatakan ianya mashyur dituturkan sedangkan ianya adalah ucapan Ibrahim bin 'Ablah, manakala Al 'Iraqi menyatakan di dalam himpunan hadith ihya 'ulumiddin bahawa riwayatnya dhoif daripada Jabir.
Inilah yang dinyatakan oleh Almarhum As Sheikh Fathi Yakan di dalam Abjadiyyat Al-Haraki Li Al-'Amal Al-Islami.
Sekalipun ianya ungkapan benar tetapi bukanlah untuk menganjurkan umat Islam meninggalkan dan melupakan tentang persediaan untuk menyelamatkan, mempertahankan Islam dan negara umat Islam dari serangan musuh2 Islam serta membiarkan kemungkaran.
Ini kerana hadith yang menganjurkan berkenaan amar ma'ruf nahi mungkar adalah riwayat yg sahih dan suruhan Allah SWT.
إنَّ مِنْ أعْظَمِ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقِّ عِنْدَ سُلْطَانٍجَاءِرٍ
'Antara jihad yang paling besar, memperkatakan yang hak di hadapan pemerintah yang zalim'
[Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah daripada Abi Said Al Khudri secara marfu']
Semoga bermanfaat dan istiqomah dalam beramal.
Abu Durrah
02 Mei 2016M
24 Rejab 1437H
Bangi

Friday, November 27, 2015

ADAB-ADAB SEBELUM TIDUR - SIRI 1

Di antara adab-adab sebelum tidur yang diajar oleh Rasulullah SAW melalui sunnah baginda ialah:
1.
Berwudhu' lah seperti wudhu' untuk solat,
2.
kemudian berbaringlah di atas lambung sebelah kanan dan
3.
Bacalah doa ini :
.اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ
sekiranya engkau mati, kematianmu di atas fitrah (Islam).
[Riwayat al Bukhari dan Muslim, juga Al Hafiz Ibnu Hajar Al Askolani di dalam Fath al Bari]
Marilah sama-sama kita berdoa agar dikurniakan oleh Allah kekuatan untuk kita beramal dengan sunnah Rasulullah SAW ini dan istiqamah.
Abu Durrah
28 November 2015M
16 Safar 1437H
Bangi

Thursday, September 17, 2015

Ibadah Korban

Jika seseorang itu berniat untuk melaksanakan korban maka hendaklah dia melihat sendiri ketika mana haiwan korban itu disembelih dan ucapkanlah doa ini :
اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنِّي
"Ya Allah terimalah daripadaku"
Melihat sendiri haiwan ibadah korban kita merupakan suruhan Rasulullah SAW sebagaimana Baginda SAW sendiri pernah menyuruh Fatimah melihat sendiri haiwan korbannya disembelih kerana sebelum tumpahnya darah haiwan itu, ibadat itu telah sampai kepada Allah. Sesungguhnya ketika titisan pertama daripada darah haiwan korbannya itu, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu. Kebaikan daripada ibadat itu akan kembali kepada orang yang berkorban itu sebenarnya.
Jika seseorang itu yang menyembelih sendiri haiwan ibadah korbannya itu atau sesiapa yang menyembelih haiwan ibadah korban maka inilah lafaz doa yang sepatutnya diucapkan ketika melakukan sembelihan:
بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ مِنْكَ ولَكَ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنِّي
" Dengan nama Allah dan Allah Maha Besar.[Ya Allah, haiwan ini daripada Engkau dan akan kembali kepada Engkau] Ya Allah, terimalah daripadaku."
[Riwayat Muslim dan Al Baihaqi, Lihat Hisnul Muslim, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Semoga bermanfaat dan istiqomah dalam beramal.
Abu Durrah
18 September 2015M
04 Zulhijja 1436H
Bangi