Sunday, November 6, 2016

Doa Ketika Berasa Marah

Apabila berasa marah atau perasaan marah menguasai dirimu, ucapkanlah kalimah ta'awwuz (تعوذ):
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجيـمِ
Maksudnya: "Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam."
[Hisnul Muslim, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani, Doa ketika marah]
Semoga kamu beroleh kesabaran dan berupaya mengawal emosimu.
Kalimah ini diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat Baginda, tatkala melihat pertelingkahan di antara dua orang lelaki:
وعن سليمان بن صرد رضي الله عنه قال: كُنْتُ جَالِسًا مَعَ النَّبيَّ صلى الله عليه و سلم وَرَجُلآن يستبان وَأحَدٌهماقداحمروجهه وانتفخت اوداجه، فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إنِّي لأعلم كلمة لو قالها لذهب عنه ما يجد, لو قال: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجيـمِ ذهب عنه ما يجد ، فقالواله: إنَّ النَّبيَّ صلى الله عليه و سلم قال تَعَوَّذْبالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجيـمِ
Daripada Sulaiman Bin Surd Radiyallahu anhu katanya: “ Ketika aku duduk bersama-sama Nabi SAW, dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah muka dan tegang pula urat lehernya.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku ajarkan satu kalimah sekiranya dibaca tentu hilang apa sahaja yang dirasakannya (rasa marah) iaitu Ia mengatakan, “ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجيـمِ “ (aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya.”
Maka mereka pun berkata kepadanya (orang yang merah muka) bahawasanya Nabi SAW bersabda: berlindunglah kepada Allah daripada syaitan yang direjam.
[Muttafaqun ‘alaih]
[Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Riyadh Al Solihin, Imam An-Nawawi, Bab Sabar]
Islam menganjurkan perdamaian, maka leraikanlah pertelingkahan daripada dua pihak jika kamu mlihatnya kerana ianya merupakan tuntutan syariat. Ucapkanlah kalimah ta’awwuz jika kamu berasa marah untuk mendapatkan kesabaran dan mengawal emosi.
Moga kita dapat beramal dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW dan istiqamah dengan amalan itu sebagai panduan dan petunjuk dalam menjalani kehidupan ini. Beramallah dengan amalan yang ma’thur daripada Rasulullah SAW semoga amalan kita itu diterima oleh Allah SWT sebagai amal yang soleh.
Sampaikan kepada orang-orang di sekeliling kita supaya mereka juga dapat beramal dengan amalan ini dan mudah-mudahan ianya menjadi ilmu yang bermanfaat kepada kita.
Iman, Ilmu, Faham dan Amal, semoga kita istiqamah, Insha Allah.
Abu Durrah
06 November 2016M
06 Safar 1437H
Bangi

No comments:

Post a Comment