Thursday, July 30, 2015

Doa Perlindungan Diri atau Apabila Berhenti Di Suatu Tempat

Bagi mereka yang sering bermusafir sama ada dengan sebab mencari rezeki, berda'wah, mengembara melihat alam ciptaan Ilahi atau yang suka melakukan aktiviti luar seperti perkhemahan atau sebarang aktiviti yang memerlukan dia bermalam atau menginap di sesuatu tempat persinggahan mahupun perhentian, maka sentiasalah beramal dengan doa ini:
أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق
[Riwayat Muslim, Lihat Hisnul Muslim , Bab Doa Apabila Berhenti di Suatu Tempat, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf AL-Qahtani]
Ianya merupakan doa pendinding diri daripada kejahatan semua makhluk dan juga haiwan atau serangga yang berbisa. Ianya juga merupakan amalan zikir pagi dan petang yang ma'thur daripada Rasulullah SAW.
Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW:
عن خولة بنت حكيم رضى الله عنها قالت: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: من نزل منزلا، ثم قال (أعوذ بكلمات الله التامات من شرّ ما خلق) لم يضره شيء حتى يرتحل من منزلة ذلك
[رواه مسلم]
Daripada Khaulah binti Hakim Radiyallahu 'Anha katanya, aku mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda 'sesiapa yang duduk diam di sesuatu tempat penginapan lalu ia berdoa:
أعوذ بكلمات الله التامات من شرّ ما خلق
"Aku memohon perlindungan dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada segala kejahatan semua makhluk yang diciptakan-Nya." maka orang yang berdoa itu tidak akan terkena sesuatu bahaya sehinggalah ia pergi daripada tempat penginapannya/penyinggahannya itu.
[Riwayat Muslim, Lihat Riyadhus solihin, Bab Ucapan yang dituntut ketika seseorang duduk di tempat penginapannya, Imam Nawawi]
Sayyidina Abu Hurairah Radhiayallahu 'Anhu berkata : Ada seorang lelaki datang memberitahu kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم bahawa dia telah disengat kala jengking.
Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda "Sesiapa yang membaca " أعوذ بكلمات الله التامات من شر ما خلق " pada waktu petang, dia tidak akan terkena gigitan kala jengking pada waktu malamnya."
[Riwayat Ahmad, Nasa'ie, Tirmidzi & Ibnu Majah, Lihat Hisnul Muslim, Bab Zikir Pagi dan Petang, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
وعن ابن عمر رضي الله عنهما قال: رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا سافر فأقبل الليل، قال ( يا أرض ربي وربك الله، أعوذ بالله من شرك و شرّ ما فيك، و شرّ ما خلق فيك و شرّ ما يدب عليك و أعوذ بك من شرّ اسد و اسود ومن الحيّة والعقرب ومن ساكن البلد، ومن والد وما ولد
[رواه ابو داود]
Daripada Ibnu Umar Radiyallahu 'Anha katanya bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم apabila baginda musafir kemudian sampai waktu malam maka baginda membacakan doa yang bermaksud:
"Wahai bumi, sesungguhnya Tuhanku dan Tuhanmu itu adalah Allah. Aku pohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan engkau dan kejahatan yang ada pada engkau serta kejahatan yang Allah ciptakan di atas engkau, bahkan daripada segala bentuk kejahatan yang melata di atas muka bumi ini. Aku juga memohon perlindungan dengan Mu Ya Allah daripada bahaya binatang buas seperti singa, ular,kala jengking dan daripada makhluk halus iaitu jin dan iblis yang telah melahirkan syaitan dan keturunannya"
[Riwayat Abu Dawud, Lihat Riyadhus Solihin, Bab Ucapan yang dituntut ketika duduk di tempat penginapannya, Imam Nawawi]
Bacalah doa yang diajar oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Semoga kita sentiasa berada di dalam lindungan Allah 'Azza Wa Jalla.
Semoga bermanfaat dan selamat beramal.
Abu Durrah
15 Syawal 1436H
31 Julai 2015M
Bangi

Thursday, July 16, 2015

Doa Yang Afdhal

Hadith Daripada Anas Bin Malik:
عن انس بن مالك ان رجلا قال: يا نبي الله أي الدعاء أفضل: قال تسأل الله العغو والعافية في الدنيا والأخيرة ثم أتاه الغد فقال: يا رسول الله أي الدعاء أفضل ؟ قال سل الله العفو والعافية في الدنيا و الأخيرة ثم أتاه اليوم الثالث فقال: تسأل الله العفو والعافية في الدنيا والأخيرة فإذا أعطيت العفو والعافية في الدنيا والأخيرة فقد أفلحت
Seorang lelaki Anas Bin Malik bertanya kepada Rasulullah SAW, " Ya Nabi Allah, apakah doa yang paling afdhal? Nabi menjawab, kau minta keampunan dan afiat (kesejahteraan dan kebaikan) dunia dan akhirat. Keesokannya aku bertanya lagi, Ya Rasulullah, apakah doa yang paling afdhal? Nabi menjawab, kau minta keampunan dan afiat (kesejahteraan dan kebaikan) dunia dan akhirat. Seterusnya hari ketiga aku bertanya lagi, Apakah doa yang paling afdhal? Nabi menjawab, kau minta keampunan dan afiat (kesejahteraan dan kebaikan) dunia dan akhirat dan sekiranya engkau dikurniakan kedua-duanya di dunia dan akhirat maka engkau telah Berjaya;”
[Hadith Hasan, Riwayat Al Hafiz Al-‘Iraqi]
Inilah doa yang paling afdhal dipohon oleh setiap muslim, walaupun pendek tapi ianya merangkumi kebaikan kepada yang memohonnya secara pakej dunia dan akhirat serta keampunan daripada Allah SWT. Bukanlah semestinya doa yang panjang-panjang sehingga letih mengangkat tangan itu yang afdhal. Adapun ungkapan yang baik yang dilafazkan diterima sebagai doa kerana lafaz doa adalah bersifat umum (bebas) tidak seperti zikir yang terikat dengan lafaz yang ma’thur daripada Nabi SAW.
Semoga bermanfaat dan selamat beramal
Abu Durrah
01 Syawal 1436H
16 Julai 2015M
Bangi