Thursday, June 13, 2013

BERTAUBATLAH, JANGAN PUTUS ASA DALAM MENDAPAT RAHMAT ALLAH

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Az Zumar:53]
Wahai diri, tidakkah cukup melegakanmu mendengarkan Firman-Nya ini? Lihatlah Allah menyapamu dengan memanggil “wahai hamba – hambaKu”...tidakkah ini cukup menyentuh hatimu?...Allah juga melarang kamu berputus asa dalam memohon keampunan daripada-Nya dan Allah juga mengkhabarkan pula Dia akan mengampuni dosa siapa saja yang bertaubat kepada-Nya. Allahu Akbar!!!. Dia Maha Pengampun wahai diri. Lihatlah betapa luasnya cinta dan kasih sayang Nya kepada kita. Sedarlah diri. Jangan kau berputus asa dalam mencari keredhaan Ilahi. Teruskan taubatmu diri. Sesungguhnya Dia lah Maha Pengampun, Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.
Wahai anak Adam,
Sekalipun dosamu tertumpuk setinggi langit,
Mohonlah ampunan Allah, nescaya Dia akan mengampuninya..
Wahai anak Adam,
Sekiranya dosamu sepenuh isi bumi dan seluruh cakerawala ini,
Mohonlah ampunan Allah, nescaya Dia akan mengampuninya
Firman Allah di dalam Al-Quran lagi,
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُواْ أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ اللّهُ وَلَمْ يُصِرُّواْ عَلَى مَا فَعَلُواْ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." [Ali 'Imran:135]
وَمَن يَعْمَلْ سُوءاً أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللّهَ يَجِدِ اللّهَ غَفُوراً رَّحِيماً
"Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [An Nisa:110]

Monday, June 10, 2013

BERAMAL SOLEH & MERASA CUKUP

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. [An Nahl:97]
ULASAN AYAT :
1. Beramal soleh, maka ALLAH akan sempurnakan kebaikan untuk kehidupan kita di muka bumi ALLAH ini. ALLAH akan cukupkan kebaikan itu pula kepada mereka yang merasa cukup dengan kurniaan ALLAH sekalipun sedikit.
2. Kita hendaklah menerima segala yang telah diberikan oleh ALLAH setelah beramal soleh sekalipun ianya buruk. Sudah pasti kita akan berjumpa pelbagai masalah, urusan, perkara di dalam kehidupan kita. Namun apabila kita melakukan amal kebaikan pasti kita akan mendapat kehidupan yang baik sekalipun dirundung dengan pelbagai masalah dan ujian sepertimana yang dijanjikan ALLAH. Ada orang yang hanya hanya berpendapatan RM2000 tenang sahaja air muka dan tutur katanya walaupun mempunyai hal yang pelbagai, masalah atau anak yang ramai. Tetapi ada orang yang pendapatan mencecah hampir RM50,000 sebulan tetapi mengapa tidak tenang raut wajahnya dan sentiasa hidup dalam keluh kesah? Ini semua berpunca daripada “ Sejauhmana dihabisi hidupnya, waktu dan masanya untuk kebaikan atau sebaliknya” .
3. Semuanya kerana AGAMA yang memimpin kita bukan wang ringgit atau kemewahan. Cintailah dunia berpada-pada dan insyaALLAH akan tenang hidup kita. Lakukanlah amal soleh dengan sehabis usaha maka akan bahagialah hidup kita. Seperti kata-kata Imam Sufyan at-Thaury: " Perbaikilah urusan dalamanmu dengan ALLAH, ALLAH akan perbaiki urusan luaranmu. Perbaikilah hubunganmu dengan ALLAH, DIA akan perbaiki urusanmu dengan manusia. Beramallah untuk akhiratmu, ALLAH akan jamin urusan duniamu. Juallah duniamu dengan akhirat, engkau akan beroleh keuntungan kedua-duanya. JANGAN jual akhiratmu dengan dunia...kelak engkau akan rugi kedua-duanya."
WALLAHU’ALAM