Tuesday, June 7, 2016

Tazkirah : Berbuka Puasa

Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian ketika berbuka puasa agar kita dapat optimumkan keberhasilan ibadah puasa ini dalam usaha kita menggapai kedudukan taqwa di sisi Allah SWT.
Antara perkara sunat yang dituntut ketika berbuka puasa ialah:
1. Menyegerakan berbuka puasa setelah diyakini masuknya waktu (tenggelamnya matahari).
Sahal bin Sa’ad radiyallahu anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْر
Maksudnya: “Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagimana mereka terus menyegerakan berbuka.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
[Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji, Bab Puasa, Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustafo Al-Bugho, Ali Asy-Syarbaji]
[Lihat Azhar Haji Yahya, Bab Puasa , Al-Mu’amad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, Karya asal Prof Dr. Muhammad Mustafa al-Zuhaily]
2. Disunatkan berbuka puasa dengan memakan kurma (basah atau kering) atau dengan beberapa teguk air ( segelas). Anas radiyallahu anhu meriwayatkan, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُْفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ , فَإِنْ لَمْ يَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاء
Maksudnya: “Rasulullah SAW berbuka sebelum solat (maghrib) dengan beberapa biji kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan kurma kering. Sekiranya tidak ada juga, maka Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci.”
[Riwayat Abu Dawud, At-Tirmidzi dan Darulqutni]
[Lihat Al-Fiqh Al-Manhaji, Bab Puasa, Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustafo Al-Bugho, Ali Asy-Syarbaji]
[Lihat Azhar Haji Yahya, Bab Puasa , Al-Mu’amad Fi Al-Fiqh Al-Syafi’i, Karya asal Prof Dr. Muhammad Mustafa al-Zuhaily]
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
3. Berdoalah ketika berbuka.
Seorang sahabat yang bernama Abdullah bin ‘Amr seringkali menjemput keluarga dan anak-anaknya untuk sama-sama berdoa ketika berbuka.
Di antara lafaz doa ketika atau sesudah berbuka yang dianjurkan berdasarkan hadith Rasulullah SAW adalah seperti berikut: Daripada Ibnu 'Abbas radiyallahu anhu, Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا ، فَتَقَبَّلْ مِنَّا ، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ
Maksudnya: "Ya Allah keranaMu, kami berpuasa. Dengan rezekiMu, kami berbuka. Terimalah ibadah (puasa) kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
[Riwayat Al-Darulqutni]
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
Daripada Ibnu ‘Umar, Rasulullah SAW menyebut:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat saraf dan tetaplah ganjaran Insha Allah (sekiranya dikehendaki Allah)."
[Riwayat Abu Dawud]
Ada pendapat mengatakan doa ini dibaca ketika selesai berbuka puasa seperti yang dinukilkan oleh Dr Wahbah al-Zuhaily di dalam tafsirnya.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
[Lihat Hisnul Muslim, Doa Ketika Berbuka Puasa, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Manakala Ibnu Majah meriwayatkan bacaan lafaz doa daripada 'Abdullah bin 'Amr:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلِّ شَيْءٍ، أَنْ تَغْفِرَ لِي
Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu supaya Engkau mengampunkan kesalahanku."
[Riwayat Ibnu Majah, menurut al-Hafiz dalam takhrij al-Azkar : Hasan]
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 186 & 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
[Lihat Hisnul Muslim, Doa Ketika Berbuka Puasa, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
4. Menyediakan, memberi atau menjamu makan kepada orang yang berbuka puasa.
Ini menurut hadith riwayat Ibnu Majah daripada Zaid bin Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَاءِمًا ، كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِمْ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْأً
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia mendapat ganjaran yang setara dengan pahala puasa orang itu, tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun.”
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan Huraian Ayat 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah al-Zuhaily]
Semoga sedikit perkongsian ini dapat kita sama-sama ambil manfaatnya dalam menambahbaik dan meningkatkan taraf ibadah puasa kita. Berdoalah agar Allah menerima ibadah puasa kita ini sebagai amalan soleh kita di sisi-Nya dan boleh kita jadikan bekalan apabila kita bertemu Allah SWT di suatu masa kelak.
Semoga bermanfat dan selamat beramal dengan istiqamah.
Abu Durrah
07 June 2016M
02 Ramadhan 1437H
Bangi

Sunday, June 5, 2016

Kelebihan Berpuasa

Orang yang beriman yang berpuasa mendapat keistimewaan di sisi Allah SWT. Berpuasa dengan niat semata-mata kerana Allah SWT serta penuh dengan keikhlasan, maka segala kerja buatnya untuk mencapai matlamat puasa itu akan diredhai oleh Allah SWT yang akan mengganjari hamba-Nya itu dengan darjat taqwa. Di antara keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang-orang beriman yang berpuasa ialah doanya dikabulkan. Maka hendaklah kita sentiasa memperbanyakkanlah doa ketika mana kita sedang berpuasa.
Seruan berdoa di dalam antara ayat-ayat berkenaan kefardhuan berpuasa Ramadhan menunjukkan Allah menggalakkan hamba-Nya berdoa bersungguh-sungguh selepas berakhir tempoh puasa dan juga ketika berbuka.
Imam Abu Daud al Tayalisi di dalam Musnadnya meriwyatkan hadith daripada 'Abdullah bin 'Amr katanya:
لِلصَّاءِمِ عِنْدَ إِفِطْارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
Maksudnya: "Orang yang berpuasa mendapat satu peluang doa makbul ketika berbuka"
Manakala Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadith ini dengan lafaz berikut:
إِنَّ لِلصَّاءِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةً مَاتُرَدُّ
Maksudnya: "Orang yang berpuasa mendapat satu kesempatan peluang doa yang tidak ditolak sewaktu berbuka"
Ketika berbuka, 'Abdullah bin 'Amr akan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي آَسْألُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَلِي
Maksudnya: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang melimpahi segalanya agar Engkau mengampuni dosaku"
Disebut di dalam Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa'i dan juga Sunan Ibnu Majah, diriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَا ثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ ; الاءِمَامُ الْعَادِلُ ، وَالصَّاءِمُ حَتَّى يُفْطِرَ ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ ; يَرْفَعُهَا اللَّهُ دُونَ الْغَمَامِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، وَتُفْتَحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاء ، وَيَقُولُ; بِعِزَّتِي لأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْبَعْدَحِينٍ
Maksudnya:"Tiga orang (yang) doa mereka tidak akan ditolak: (Doa) pemimpin yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan (doa) orang yang teraniaya. Pada hari kiamat, Allah akan mengangkat doa orang yang teraniaya ke langit tanpa dilindungi awan. Pintu langit dibuka untuk menyambut doa itu. Lalu Allah bertitah: "Demi kemuliaanKu, Aku pasti akan menolongmu, walau selepas sekian lama masa berlalu."
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan huraian ayat 186 & 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah Al Zuhayli]
Maka yang demikian itu, perbanyakkanlah berdoa ketika mana kamu sedang berpuasa terutama di waktu menghampiri berbuka dan ketika bersahur. Justeru jangan sia-siakan ibadah puasa ini dengan tidak banyak berdoa apatah lagi berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini dan sedia maklum akan kelebihan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Ini kerana berdoa itu merupakan manifestasi tahap 'ubudiyyah yang terpenting kita kepada Allah SWT dan inilah pendapat jumhur ulama'.
Semoga bermanfaat dan selamat beramal dengan istiqamah.
Abu Durrah
05 June 2016M
01 Ramadhan 1437H
Bangi