Sunday, June 5, 2016

Kelebihan Berpuasa

Orang yang beriman yang berpuasa mendapat keistimewaan di sisi Allah SWT. Berpuasa dengan niat semata-mata kerana Allah SWT serta penuh dengan keikhlasan, maka segala kerja buatnya untuk mencapai matlamat puasa itu akan diredhai oleh Allah SWT yang akan mengganjari hamba-Nya itu dengan darjat taqwa. Di antara keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang-orang beriman yang berpuasa ialah doanya dikabulkan. Maka hendaklah kita sentiasa memperbanyakkanlah doa ketika mana kita sedang berpuasa.
Seruan berdoa di dalam antara ayat-ayat berkenaan kefardhuan berpuasa Ramadhan menunjukkan Allah menggalakkan hamba-Nya berdoa bersungguh-sungguh selepas berakhir tempoh puasa dan juga ketika berbuka.
Imam Abu Daud al Tayalisi di dalam Musnadnya meriwyatkan hadith daripada 'Abdullah bin 'Amr katanya:
لِلصَّاءِمِ عِنْدَ إِفِطْارِهِ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ
Maksudnya: "Orang yang berpuasa mendapat satu peluang doa makbul ketika berbuka"
Manakala Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadith ini dengan lafaz berikut:
إِنَّ لِلصَّاءِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةً مَاتُرَدُّ
Maksudnya: "Orang yang berpuasa mendapat satu kesempatan peluang doa yang tidak ditolak sewaktu berbuka"
Ketika berbuka, 'Abdullah bin 'Amr akan membaca doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي آَسْألُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَلِي
Maksudnya: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang melimpahi segalanya agar Engkau mengampuni dosaku"
Disebut di dalam Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Tirmidzi, Sunan al-Nasa'i dan juga Sunan Ibnu Majah, diriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَا ثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ ; الاءِمَامُ الْعَادِلُ ، وَالصَّاءِمُ حَتَّى يُفْطِرَ ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ ; يَرْفَعُهَا اللَّهُ دُونَ الْغَمَامِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، وَتُفْتَحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاء ، وَيَقُولُ; بِعِزَّتِي لأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْبَعْدَحِينٍ
Maksudnya:"Tiga orang (yang) doa mereka tidak akan ditolak: (Doa) pemimpin yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan (doa) orang yang teraniaya. Pada hari kiamat, Allah akan mengangkat doa orang yang teraniaya ke langit tanpa dilindungi awan. Pintu langit dibuka untuk menyambut doa itu. Lalu Allah bertitah: "Demi kemuliaanKu, Aku pasti akan menolongmu, walau selepas sekian lama masa berlalu."
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan huraian ayat 186 & 187 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah Al Zuhayli]
Maka yang demikian itu, perbanyakkanlah berdoa ketika mana kamu sedang berpuasa terutama di waktu menghampiri berbuka dan ketika bersahur. Justeru jangan sia-siakan ibadah puasa ini dengan tidak banyak berdoa apatah lagi berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini dan sedia maklum akan kelebihan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Ini kerana berdoa itu merupakan manifestasi tahap 'ubudiyyah yang terpenting kita kepada Allah SWT dan inilah pendapat jumhur ulama'.
Semoga bermanfaat dan selamat beramal dengan istiqamah.
Abu Durrah
05 June 2016M
01 Ramadhan 1437H
Bangi

No comments:

Post a Comment