Wednesday, May 7, 2014

DOA, KEPERLUAN DAN KEKUATANNYA – SUATU RINGKASAN.

Kebergantungan manusia kepada sang Pencipta, Allah SWT memang tidak boleh dinafikan. Sekuat mana pun, sepandai mana pun seseorang manusia itu, segala gerak kerja buatnya tetap tertakluk kepada keizinan Allah SWT. Sebab itulah, manusia yang beriman akan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan beribadah serta menggandakan ibadahnya dan berdoa kepada-Nya. Orang beriman diajar, sekiranya berdepan dengan kesulitan, musibah, kepayahan atau apa jua rintangan, maka janganlah berputus asa kerana masih ada jalan keluar baginya iaitu berdoa mengadu kepada Allah SWT. Inilah rahsia kekuatan bagi orang-orang yang beriman sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Daripada ‘Ali Bin Abi Tholib r.a;
“Doa merupakan senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi”.
[Riwayat Abu Ya’la dan Al-Hakim, dinilai sahih oleh para muhadith]
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat 186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Allah menyuruh orang-orang yang beriman berdoa memohon kepada-Nya dan berjanji bahawa setiap doa permintaan itu pasti akan diperkenankan berdasarkan kepada firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takabur daripada beribadah dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
[Surah Al-Ghafir (Mu'min):60]
Cabang Ibadah
Doa adalah ibadah. Sudah pastilah ada nilaiannya di sisi Allah SWT. Pastilah Allah memberikan ganjaran pahala kepada sesiapa hamba-Nya yang berdoa.
Inilah tafsiran menurut pendapat Ibnu ‘Abbas, Al Dahhak dan Mujahid serta jamaah yang lain dalam menafsirkan ayat 60 surah Al Ghafir (Mu’min).
Pendapat ini disokong oleh sebuah hadith daripada Nu’man ibn Bashir, Rasulullah SAW bersabda;
الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ
“Doa adalah Ibadah” dan kemudian Baginda membacakan ayat
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
(“Berdoalah kamu kepada Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”)
[Riwayat Ibn Hibban dan Al-Hakim]
Berdoa itu merupakan suruhan Allah, maka jika ianya adalah suruhan Allah, maka sekiranya seseorang hamba Allah itu tidak melaksanakan suruhan itu pastilah kemurkaan Allah kepadanya.
Ini bersandarkan kepada hadith Rasulullah SAW:
Daripada Abu Hurairah:
من لم يدع الله غضب عليه
"Sesiapa yang tidak mahu berdoa kepada Allah SWT sudah pasti Allah SWT murka kepadanya"
[Riwayat Ahmad dan Hakim]
Kemurkaan Allah kepada hamba-Nya yang enggan berdoa dan beribadah memohon kepada-Nya buleh difahami apabila mereka ini diklasifikasikan sebagai orang yang sombong dan takabur daripada bergantung harap kepada Allah SWT dan mereka ini diancam dengan pengakhiran yang buruk iaitu dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam dalam keadaan hina.
[Lihat Tafsir Al Maraghiy, Huraian ayat 60, Surah Al-Ghafir (Mu’Min), Ahmad Mustafa Al-Maraghiy]
Menurut Imam Al-Maraghiy lagi di dalam tafsirnya, ayat ini merupakan ancaman berat terhadap orang yang sombong yang tidak mahu berdoa kepada Allah SWT dan juga merupakan kebaikan yang besar daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Ini disebabkan Allah SWT mengancam hamba-hamba-Nya yang tidak mahu berdoa meminta kebaikan kepada-nya tidak lain hanyalah untuk kebaikan mereka sendiri. Dalam hal ini, Allah SWT pemilik segala kebaikan serta segala kenikmatan, dan hendaklah meminta segala hajat kamu kepada Allah SWT yang telah menyuruh kamu meminta kepada-Nya, serta membimbing kamu bertawakkal kepada-Nya. Dan Allah SWT menjamin akan mengabulkan doa kamu, kerana Dia Maha Mulia dan Maha Pengasih. Sesungguhnya Dia pasti akan mengabulkan permintaan orang yang meminta kepada-Nya dan akan murka kepada orang yang tidak mahu meminta kepada-Nya sama ada dalam urusan agama mahupun dunianya.
[Lihat Tafsir Al Maraghiy, Huraian ayat 60, Surah Al-Ghafir (Mu’Min), Ahmad Mustafa Al-Maraghiy]
Adakah Doa itu memberi kesan?
Ada yang beranggapan berdoa ini tidak perlu dan tiada faedahnya kerana sekiranya perkara itu sememangnya pasti berlaku menurut ilmu Allah SWT tetap akan berlaku dan sekiranya ditetapkan tidak berlaku maka ianya tetap tidak akan berlaku. Menurut Dr Wahbah Az Zuhayli lagi, menurut jumhur ulama bahawa berdoa itu adalah manifestasi tahap ‘ubudiyyah yang terpenting.
Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT:
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takabur daripada beribadah dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
[Surah Al-Ghafir (Mu'min):60]
Allah Maha Mendengar, maka berdoalah kepada-Nya, kerana Allah sangat hampir dengan hamba-Nya, bertepatan dengan Firman-nya:
وَاِذَا سَالَكَ عِبَادِي عَنِّي فَاِنِّي قَرِيبٌ اُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
"Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul".
[Surah Al-Baqarah:186]
Terdapat beberapa perkara yang tertakluk kepada syarat-syarat dan sebab musabab dalam takdir Allah, antaranya ialah doa. Ia merupakan ibadah yang diasaskan kepada pengetahuan. Orang yang berdoa mestilah mengetahui dengan sebaik mungkin tentang Tuhannya. Lantas meyakini bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, dan Maha Perkasa terhadap hamba-hambanya.
Menurut hadith daripada Muaz ibn Jabal, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
“Tidak berguna lagi sikap berhati-hati bagi seseorang yang telah ditakdirkan tetapi doa itu berguna terhadap sesuatu yang telah berlaku dan apa yang belum berlaku. Oleh sebab itu, hendaklah kamu berdoa.”
[Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan Al-Tabarani]
Bagaimanapun, kemakbulan doa bagi seseorang hamba Allah tertakluk kepada beberapa syarat seperti ia tidak melampaui batas-batas ketetapan Allah SWT. Sesiapa yang berdegil melakukan maksiat baik secara sedar mahupun tidak, ia telah melanggar batasan.
Menurut Dr Wahbah Al Zuhayli di dalam tafsirnya, ketika menghuraikan ayat 186 dari surah Al Baqarah ini, mengatakan kemakbulan doa oleh Allah SWT merangkumi petunjuk atau bimbingan ke arah memperoleh sebab musabab atau pemangkinnya; seperti dipermudahkan jalan memperolehi rezeki, sembuh dari penyakit dan mencapai kejayaan. Ini diiringi oleh kejayaan meraih hasil usaha berkenaan berkat taufik dan pemeliharaan Allah jua. Supaya doa dimakbulkan, makhluk perlulah mematuhi suruhan Allah dengan keimanan yang sahih. Mereka perlu taat dan melakukan ibadah yang bermanfaat untuk diri sendiri seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ketika itu barulah seseorang hamba mendapat balasan yang terbaik daripada Allah SWT. Amalan yang dilakukan dengan penuh keimanan, akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Rasionalnya, jika mereka menyahut suruhan Allah, maka segala permohonan mereka akan Allah tunaikan.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan huraian ayat 186 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah Al Zuhayli]
Adapun kaedah atau cara doa itu dimakbulkan dan masa dimakbulkan itu merupakan urusan Allah SWT yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-Nya.
Sheikh Ibnu Atho’illah Al-Iskandari di dalam Al-Hikam menyatakan,
Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan patah harapan, sebab Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Ia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukannya, bukan pada waktu yang engkau tentukan.
[Lihat Al-Hikam, Hikmah keenam, Pengertian Penerimaan Doa, Sheikh ibnu Atho’illah Al-Iskandari]
Syarat-syarat Berdoa:
Mestilah yakin bahawa tiada yang berkuasa melainkan Allah. Doa hendaklah dipohon dengan ketulusan niat dan kesungguhan di hati. Allah tidak mendengar (menerima) permohonan dari hati yang leka dan lalai. Orang yang berdoa itu juga hendaklah menjauhkan diri dari mencari rezeki yang haram. Janganlah jemu-jemu dan berputus harap dalam berdoa. Kandungan doa mestilah yang diharuskan oleh syara’ iaitu tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutuskan silaturrahim.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat ke-186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Menurut sheikh Ibnu Atho’illah Al-Iskandari, syarat utama untuk diterimanya suatu doa, ialah keadaan terpaksa (terdesak). Ini berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud;
أَمَّن يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ
“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita (terdesak terpaksa) apabila ia berdoa kepada-Nya.”
[Surah An-Naml:62]
Keadaan terpaksa (terdesak) itu, bila merasa tidak ada sesuatu yang diharapkan selain semata-mata kurnia Allah, tidak ada sesuatu yang dapat dijadikan perantara baik dari luar yang berupa benda, atau dari dalam dirinya sendiri.
[Lihat Al-Hikam, Hikmah keenam, Pengertian Penerimaan Doa, Sheikh ibnu Atho’illah Al-Iskandari]
Menurut Sahl bin ‘Abdullah Al-Tustari, syarat diterima doa ada tujuh (7):
1. Memohon dengan sepenuh hati dan rendah diri.
2. Takut kepada Allah.
3. Berdoa dengan penuh harapan.
4. Berterusan.
5. Khusyuk.
6. Berdoa secara umum (serba menyeluruh).
7. Makanan perlu dari sumber yang halal.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat ke-186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Waktu-waktu yang digalakkan berdoa, menurut pelbagai riwayat ialah:
1. Waktu dini hari (sepertiga malam, waktu sahur)
2. Waktu berbuka puasa.
3. Antara Azan dan iqamah.
4. Waktu zohor dan ‘Asar pada hari rabu.
5. Waktu terdesak (terpaksa).
6. Ketika bermusafir dan sakit.
7. Semasa hujan turun.
8. Pada saat pertempuran tentera Islam dan tentera kafir.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat ke-186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Setiap hamba yang berdoa, nescaya Allah memakbulkannya. Jika permintaan doanya itu merupakan habuan rezekinya di dunia, maka ia akan memperolehinya. Akan tetapi jika tidak menjadi rezekinya di dunia, maka ia merupakan ganjaran yang akan disimpankan untuknya pada hari akhirat kelak, inilah pengertiaan doa menurut ibnu ‘Abbas.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat ke-186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Yang demikian itu, kita sebagai hamba yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, beriman kepada Malaikat-Nya, kepada Kitabullah, Hari Akhirat serta Qadha’ dan Qadar-Nya hendaklah sentiasa berdoa dan menjadikan amalan berdoa ini sebagai rutin ibadah seharian serta janganlah berputus asa dan harap dalam berdoa. Kerana Allah SWT telah berjanji akan memperkenankan setiap doa selagi mana ianya bertepatan dengan syara’ dan pastilah janji Allah itu benar.
Beristighfar dan berdoalah teman-teman, kerana doa itu merupakan sebahagian daripada pengampunan (istighfar), mudah-mudahan Allah mengangkat ianya sebagai amalan kita yang soleh di sisi-Nya serta mengurniakan kita darjat insan yang bersyukur dan bertakwa kepada-Nya. Semoga Allah menetapkan iman kita dan mengekalkan diri kita di dalam nikmat iman dan Islam kerana itulah sebesar-besar dan sebaik-baik nikmat. Insha Allah. Amin.
Abu Durrah
08 Rejab 1435H
08 May 2014M
Bangi

Sunday, May 4, 2014

Amalan Bulan Rejab

Kita sering dengar ungkapan doa ini,
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Allahumma baarik lanaa fii Rajab wa Sya’ban wa ballighnaa Ramadhan”,
Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rajab dan Sya’ban, serta sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.
Riwayat selengkapnya mengenai do’a tersebut adalah sebagai berikut.
حَدَّثَنَا عَبْد اللَّهِ حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ عَنْ زَائِدَةَ بْنِ أَبِي الرُّقَادِ عَنْ زِيَادٍ النُّمَيْرِيِّ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ وَكَانَ يَقُولُ لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ
Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah, telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidullah bin Umar dari Za`idah bin Abu Ar Ruqad dari Ziyad An Numairi dari Anas bin Malik, ia berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam apabila memasuki bulan Rajab, maka beliau mengatakan,
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Allahumma baarik lanaa fii Rajab wa Sya’ban wa ballighnaa Ramadhan”,
[Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rajab dan Sya’ban, serta sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.]
Kemudian Baginda menambah,”Malam jum’at adalah mulia dan harinya terang benderang.”
Riwayat di atas dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya (1/259), Ibnu Suniy dalam ’Amalul Yaum wal Lailah, Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman (3/1399), An Nawawi dalam Al Adzkar (245)
Dalam hadits ini terdapat Zaidah bin Abi Ar Ruqod dan Ziyad An Numiari. Imam Al Bukhari dan Ibnu Hajar Al Asqolani menilai Zaidah bin Abi Ar Ruqod sebagai munkarul hadits. Sedangkan Ziyad bin ‘Abdillah An Numari dikatakan oleh Yahya bin Ma’in dan Ibnu Hajar sebagai perowi yang dho’if.
Hadits ini dikatakan dho’if (lemah) oleh Ibnu Rajab dalam Lathoif Ma’arif (218), Syaikh Al Albani dalam tahqiq Misykatul Mashobih (1369), dan Syaikh Syu’aib Al Arnauth dalam takhrij Musnad Imam Ahmad.
Hadits ini dinilai dho’if oleh:
Adz Dzahabi dalam Mizanul I’tidal (2/65).
Ibnu Rajab dalam Lathoif Ma’arif (218).
Ibnu Hajar Al Asqolani dalam Tabyinul ‘Ajb (19).
Syu’aib Al Arnauth menilai sanadnya dho’if dalam tahqiq musnad Imam Ahmad (1/259).
sumber: http://muslim.or.id/hadits/ya-allah-berkahilah-kami-di-bulan-rajab.html

Wednesday, April 16, 2014

Zikrullah Mententeramkan Hati Dan Kelebihannya

Janji Allah SWt kepada orang yang beriman, bahawa ketenangan jiwa yang sebenar adalah dengan sentiasa ingat kepada-Nya. Maka basahilah bibir kamu dengan zikrullah kerana ianya menghidupkan hati dan menenangkan jiwa. Allah berfirman: Yang bermaksud:
الذِينَ ءامنوا وَتَطْمئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكْر اللهِ الا بِذِكْر اللهِ تَطْمئِنُّ القُلوبُ
“Iaitu orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” [Ar-Ra’d:28]
Sheikh Ahmad Mustafa di dalam tafsirnya menyatakan sesungguhnya dengan mengingati Allah SWT semata-mata, hati golongan mu’min akan menjadi tenang dan hilanglah kegelisahan kerana ketakutan mereka kepada-Nya. Limpahan cahaya keimanan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka itulah yang melenyapkan segala kegelisahan dan kesedihan. Kegelisahan dan kesedihan mengenangkan seksaan Allah SWT atas segala kerja buat dosa dan maksiat dilenyapkan dengan mengingati balasan janji yang berupa pahala dan rahmat oleh Allah SWT.
[Lihat Tafsir Al-Maraghiy,Huraian ayat 28 Surah Ar-Ra’d, Ahmad Mustafa Al-Maraghiy]
Dr ‘Aidh Bin Abdullah Al Qarni di dalam kitabnya La Tahzan mengatakan Berzikir kepada Allah adalah syurga Allah di bumi-Nya. Maka siapa yang tidak pernah memasukinya, juga tidak akan memasuki Syurga-Nya di akhirat kelak. Zikrullah adalah penyelamat dan rawatan bagi segala penyakit jiwa dan hati. Zikrullah adalah jalan mudah meraih kebahagian hakiki. Zikrullah meruntuhkan segala beban kehidupan dan permasalahan hidup. Kehidupan menjadi tenang dan tenteram.
Percayalah, semakin banyak mengingati Allah, fikiran anda akan menjadi semakin terbuka, hati anda semakin tenteram, jiwa semakin bahagia dan nurani semakin damai sentosa. Itu, kerana dalam mengingati Allah terkandung nilai-nilai ketakwaan, keyakinan penuh, kebergantungan diri hanya kepada-Nya, kepasrahan kepada-Nya, berbaik sangka kepada-Nya dan pengharapan kebahagiaan dari-Nya. Allah sentiasa dekat ketika si hamba berdoa kepada-Nya, sentiasa mendengar ketika diminta, dan sentiasa mengabulkan jika dipohon. Sujudlah kepadanya dan sebutlah berulangkali nama-Nya yang indah dan penuh berkah itu tanda pengabdian kita kepada keesaan-Nya. Sampaikanlah pujian, doa, permohonan dan taubat kepada-Nya. Nescaya, berkat kekuatan dan pertolongan daripada-Nya, maka berolehlah ketenteraman, ketenangan dan kesejahteraan.
[Lihat La Tahzan, Mengingat Allah akan mententeramkan,Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni.]
Mengingati Allah ‘zikrullah’ itu bukanlah hanya dikurniakan hati yang tenteram dan sejahtera malah lafaz bait-bait zikrullah itu ada nilai pahala yang sangat besar dan ianya memberatkan timbangan amal soleh kita di akhirat kelak.
Disebutkan dalam hadith sahih:
مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ مَثَلُ الْحَىِّ وَالْمَيِّتِ
“(Perumpamaan) orang yang selalu berzikir kepada Allah dan yang tidak pernah berzikir kepada Allah bagaikan orang hidup dan orang mati”
[Riwayat Bukhari, Lihat La Tahzan, Janganlah bersedih, Ingatlah Selalu Kepada Allah, Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni.]
Sesibuk manapun kita, janganlah sampai terleka daripada mengingati Allah, sebanyak mana pun urusan dunia yang kita kejar janganlah sampai berat mulut kita untuk memuji dan bersyukur kepada Allah. Ringankanlah mulut kita untuk sekurang-kurangnya melafazkan سُبْحانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ dan سُبْحَانَ اللهِ العَظِيمِ berulang kali.
Ini kerana walaupun lafaznya pendek, ianya merupakan kalimah yang memberatkan timbangan amal kita dan sangat disukai oleh Allah SWT.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Dua Kalimah سُبْحانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ العَظِيمِ yang ringan di lidah, berat di atas neraca timbangan dan disukai oleh Allah yang Maha Pengasih.
[Riwayat Bukhari dan Muslim, Lihat Hisnul Muslim, Kelebihan Tasbih, Tahmid, Tahlil dan Takbir, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Selain itu, Rasulullah juga mengajar kita untuk membaca zikir ini,
"سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ: عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ".
Bacaan ini memgambil masa yang sangat singkat tetapi timbangannya juga sangat berat. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:
Nabi SAW pernah keluar pada suatu hari dari rumah isterinya, Juwairiyyah untuk solat Subuh dan Juwairiyyah sedang berada di tempat solatnya. Sewaktu Nabi SAW kembali, matahari sudah mula tinggi (dhuha) dan beliau masih di tempat itu. Apabila Nabi SAW melihatnya, Baginda bertanya, “Awak masih berada di tempat yang saya lihat sewaktu keluar tadi.” “Ya.” Jawab isterinya. Sabda Baginda lagi, “Sesungguhnya saya telah membaca selepas meninggalkan awak empat kalimah sebanyak tiga kali yang juga ditimbang dengan bacaan yang awak baca pada hari ini, timbangannya lebih berat lagi, iaitu "سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ: عَدَدَ خَلْقِهِ، وَرِضَا نَفْسِهِ، وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ".”
[Riwayat Muslim, Lihat Hisnul Muslim, Zikir Pagi dan Petang, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Kita juga digalakkan sentiasa bertasbih (33x) سُبْحَانَ اللهِ, bertahmid (33x) الْحَمْدُ للهِ dan bertakbir (34x) اللهُ أَكْبَرُ mengingati Allah kerana ianya menenangkan, mententeramkan jiwa serta merehatkan kepenatan fizikal dan ganjarannya lebih baik daripada mendapatkan seorang khadam.
Kisah anak Rasulullah SAW, Fatimah yang juga merupakan isteri kepada Sayyidina Ali yang mengadu kepada Rasulullah SAW akan betapa penatnya dia menguruskan rumahtangga lantaran tiadanya pembantu dan meminta diberikan kepadanya seorang hamba sebagai pembantu. Rasulullah SAW tiada di rumah ketika anaknya itu datang, lalu Fatimah mengadu perihal ini kepada Sayyidatina ‘Aisyah dan ‘Aisyah menceritakan kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW berjumpa dengan anaknya itu di waktu malam dan mengajarkannya bacaan ini, iaitu tasbih (33x) سُبْحَانَ اللهِ, tahmid (33x) الْحَمْدُ للهِ dan takbir (34x) اللهُ أَكْبَرُ
[Riwayat Muslim]
Ini juga berdasarkan kepada hadith berikut yang bermaksud: “Sesiapa yang membacanya 33x سُبْحَانَ اللهِ، والْحَمْدُ للهِ، وَاللهُ أَكْبَرُ sewaktu hendak tidur adalah lebih baik baginya daripada mendapat seorang khadam.”
[Riwayat Bukhari & Muslim, Lihat Hisnul Muslim, Bacaan Sebelum dan Selepas Tidur, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Justeru, wahai para isteri janganlah mengeluh kerana kepenatan dalam hal menguruskan rumahtangga dan berkhidmat kepada suamimu. Wahai para isteri jangalah bersedih lantaran ketidakmampuan suamimu untuk menyediakan pembantu bagi meringankan beban kerja. Wahai para isteri, percayalah, setiap titisan peluh kerana menguruskan rumahtangga dan berkhidmat kepada suami serta mendidik anak2 itu ada nilai pahala di sisi Allah dan pasti Allah mengurniakan ganjarannya. Wahai para isteri, percayalah segala pengorbanganmu itu amat besar ganjaran dan nilaiannya di sisi Allah SWT. Bertenanglah dan tenteramkanlah hatimu dengan ingat kepada Allah, sentiasalah bibirmu mengucapkan tasbih, tahmid dan takbir kepada Allah SWT, kerana itulah yang terlebih baik bagi kamu. Telah pergi kedukaan, telah datang ketenangan.
Marilah kita sama-sama beramal dengan apa yang diajar oleh Rasulullah SAW dengan istiqomah. Berzikirlah dan basahilah bibir kita dengan kalimah-kalimah yang memuji dan mengagungkan Allah SWT yang pasti diganjari pahala yang besar oleh-Nya sebagaimana hadith Rasulullah SAW:
“Mahukah kalian ku beritahu tentang amal yang paling utama, yang paling baik di sisi Tuhan kalian, yang nilainya lebih baik daripada berinfaq emas dan perak dan lebih baik bagi kalian daripada bertemu musuh sehingga kalian melawan mereka dan mereka melawan kalian? Para sahabat menjawab:”Mahu, wahai Rasulullah.” Beliau menjawab “Berzikir kepada Allah”.
[Riwayat At Tirmidzi, Lihat La Tahzan, Jangan Bersedih, Ingatlah Selalu Kepada Allah, Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni]
Berdoalah kepada Allah semoga kita sentiasa dan kekal berada dalam petunjuk-Nya dan menyuburkan hati kita dengan iman, faham dan ikhlas kepada-Nya. Beramallah dengan sunnah ini kerana ini yang ditunjukkan oleh junjugan besar umat Baginda Rasulullah SAW semoga kita beroleh kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, Insha Allah. Amin.
Abu Durrah
17 Jamadil Akhir 1435H
17 April 2014M
Bangi

Wednesday, April 2, 2014

Adab Dan Doa Menaiki Tunggangan Atau Kenderaan

Allah mengajar manusia agar berdoa apabila mengenderai binatang atau kenderaan, sebagaimana Firman-Nya:
لِتَسۡتَوُ ۥاْ عَلَىٰ ظُهُورِهِۦ ثُمَّ تَذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ رَبِّكُمۡ إِذَا ٱسۡتَوَيۡتُمۡ عَلَيۡهِ وَتَقُولُواْ سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَـٰذَا وَمَا ڪُنَّا لَهُ ۥ مُقۡرِنِينَ (١٣) وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (١٤)
Yang bermaksud:
“Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: “Maha Suci Engkau yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.”
[Az-Zukhruf: 13-14] Lihat Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Sheikh Abdullah Basmeih & Sohibul Fadhillah Datuk Haji Muhammad Noor Bin Haji Ibrahim, Darul Fikir, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Pusat Islam Kuala Lumpur]
Rasulullah SAW mengungkapkan doa ini ketika mengenderai tunggangan:
بِسْـمِ اللهِ وَالْحَمْـدُ لله، سُـبْحانَ الّذي سَخَّـرَ لَنا هذا وَما كُنّا لَهُ مُقْـرِنين، وَإِنّا إِلى رَبِّنا لَمُنـقَلِبون، الحَمْـدُ لله، الحَمْـدُ لله، الحَمْـدُ لله، اللهُ أكْـبَر، اللهُ أكْـبَر، اللهُ أكْـبَر، سُـبْحانَكَ اللّهُـمَّ إِنّي ظَلَـمْتُ نَفْسي فَاغْـفِرْ لي، فَإِنَّهُ لا يَغْفِـرُ الذُّنوبَ إِلاّ أَنْـت.
Yang bermaksud:
“Dengan nama Allah. Segala puji bagi Allah. Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya. Sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kami akan kembali. Segala puji bagi Allah, Segala puji bagi Allah, Segala puji bagi Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Maha Suci Engkau, aku telah menzalimi diriku. Ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.”
[Abu Dawud & Al-Tirmidzi] [Lihat Hisnul Muslim, Sheikh Dr, Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani, dalam Fasal Doa Menaiki Kenderaan]
Adab dan berdoa menaiki kenderaan atau tunggangan menurut sunnah adalah seperti berikut:
1.
Menyebut nama Allah ‘ basmallah’ بِسْـمِ اللهِ
2.
Bertahmid 'memuji Allah' الْحَمْـدُ لله
3.
Membaca doa Surah Az-Zukhruf : 13-14, سُـبْحانَ الّذي سَخَّـرَ لَنا هذا وَما كُنّا لَهُ مُقْـرِنين، وَإِنّا إِلى رَبِّنا لَمُنـقَلِبون
4.
Bertahmid 'memuji Allah' 3x الْحَمْـدُ لله
5.
Bertakbir 'mengagungkan Allah' 3x اللهُ أكْـبَر
6.
Memohon keampunan. سُـبْحانَكَ اللّهُـمَّ إِنّي ظَلَـمْتُ نَفْسي فَاغْـفِرْ لي، فَإِنَّهُ لا يَغْفِـرُ الذُّنوبَ إِلاّ أَنْـت.
Lafaz doa yang disebut oleh Rasulullah SAW ketika menaiki tunggangan (kenderaan) adalah daripada surah Az-Zukhruf ayat 13 dan 14 diiringi dgn menyebut nama Allah dan tahmid sebelumnya dan tahmid, takbir serta memohon keampunan selepasnya.
Ini berdasarkan kisah sebagaimana hadith daripada Ali bin Rabi’ah:
Aku melihat Amiral Mukminin Sayyidina Ali mendapat seekor haiwan sebagai tunggangannya. Semasa Sayyidina Ali menginjakkan kakinya di pelana, beliau menyebut nama Allah بِسْـمِ اللهِ. Sesudah berada di atas tunggangannya beliau bertahmid الْحَمْـدُ لله. Kemudian membaca doa سُـبْحانَ الّذي سَخَّـرَ لَنا هذا وَما كُنّا لَهُ مُقْـرِنين، وَإِنّا إِلى رَبِّنا لَمُنـقَلِبون yang bermaksud “Maha Suci Engkau yang menundukkan semua ini untuk kami, padahal sebelumnya kami tidak mampu menguasainya dan sesungguhnya hanya kepada kami akan kembali kepada Tuhan kami.”
Selepas itu, Sayyidina Ali bertahmid الْحَمْـدُ لله sebanyak 3 kali, bertakbir اللهُ أكْـبَر sebanyak 3 kali seraya berdoa, سُـبْحانَكَ اللّهُـمَّ إِنّي ظَلَـمْتُ نَفْسي فَاغْـفِرْ لي، فَإِنَّهُ لا يَغْفِـرُ الذُّنوبَ إِلاّ أَنْـت. “ Maha Suci Engkau, Ya Allah! Sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri, oleh itu ampunkanlah aku. Sesungguhnya, hanya Engkau yang dapat mengampuni dosa kami.”
Kemudian, Sayyidina Ali tertawa. Lalu aku pun bertanya kepadanya. “Wahai Amiral Mu’minin, mengapakah tuan tertawa?” lalu dijawab oleh sayyidina Ali, “Aku melihat Rasulullah SAW melakukan sama seperti yang aku lakukan tadi, lalu beliau tertawa. Aku (Sayyidina Ali) pun bertanya kepada Baginda SAW, ‘Mengapa kamu tertawa, wahai Rasulullah SAW?’ Jawab Baginda, ‘Sesungguhnya, Tuhanu kagum kepada hamba-Nya yang berdoa, Wahai Tuhanku! Ampunilah dosa-dosaku, dan dia menyedari hanya Allah sahaja yang dapat mengampuni segala dosa.’”
[Lihat As-Syamail Al-Muhammadiyyah, Imam Al-Tirmidzi, Hadith 226 dalam Bab Cara Rasulullah SAW Tertawa]
[Imam At-Tirmidzi berkata hadith ini hadith hasan. Diterangkan di dalam sebahagian kitab dianggap hasan sahih, hadith di atas lafaznya oleh Imam Abu Dawud, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Bacaan Ketika Menaiki Kenderaan, Imam Nawawi]
Juga hadith riwayat Imam Muslim, Abu Dawud, Al-Tirmidzi, Al-Nasa’ie, Hakim dan Ibn Mardawayh daripada Ibn ‘Umar, bahawasanya Rasulullah SAW apabila bermusafir dengan menunggang unta, pasti Baginda bertakbir tiga kali kemudian mengucap سُـبْحانَ الّذي سَخَّـرَ لَنا هذا وَما كُنّا لَهُ مُقْـرِنين، وَإِنّا إِلى رَبِّنا لَمُنـقَلِبون
[Lihat Tafsir Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa Al Maraghiy, dalam Huraian ayat 13 Surah Az-Zukhruf]
Doa ini diakhiri dengan memohon keampunan, kenapa kita diajar atau disuruh memohon keampunan diakhir doa ini? Jelaslah kerana menunggang, menaiki, memandu atau mengawal binatang tunggangan atau kenderaan itu merupakan perbuatan yang ada risiko dan bahaya kepada penunggang serta penumpang tunggangan itu. Sekiranya binatang tunggangan itu mengamuk atau meronta-ronta dan tidak menurut arahan boleh mengakibatkan penunggang itu tercampak lalu meninggal dunia, begitu juga kenderaan, kapal atau seumpamanya boleh sahaja terbabas, terhempas, tenggelam mahupun bertembung yang boleh mengakibatkan kematian.
Kemudian Allah SWT menyuruh manusia agar sentiasa mengingati mati ketika mengenderai binatang atau menaiki kapal (kenderaan) dan mengingatkan kepada mereka bahawasanya kematian akan menjemput kita sama ada dalam kenderaan atau di mana sahaja kita berada. Ingatlah, bahawa kita semua akan kembali kepada-Nya.
[Lihat Tafsir Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa Al Maraghiy, dalam Huraian ayat 13 dan 14 Surah Az-Zukhruf]
Semoga kita dapat beramal dengan apa yang ditunjukajar oleh Rasulullah SAW mudah-mudahan dengan mengamalkan sunnah ini maka diberi ganjaran oleh Allah akan kita dan diangkatnya sebagai amalan kita yang soleh di sisi-Nya. Insha Allah. Amin.
Abu Durrah
Bangi
02 Jamadil Akhir 1435H
02 April 2014

Sunday, March 9, 2014

Waktu dan Doa Yang Baik

Berdoalah untuk diri sendiri di antara azan dan iqamah kerana doa pada waktu itu tidak ditolak (akan diperkenankan. [Riwayat Al-Tirmidzi, Abu Dawuud dan Ahmad, Lihat Hisnul Muslim dalam bab Bacaan Ketika dan Selepas Azan, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Maka perbanyakkanlah doa untuk diri, kerana sela masa di antara azan dan iqamah itu diklasifikasikan sebagai di antara masa yang mustajab untuk berdoa.
Antara lafaz-lafaz doa atau ucapan untuk diri sendiri yang baik adalah:
1.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وارْحَمْنِي، واهْدِنِي، وارْزُقْنِي
(Allahummaghfirlii, warhamnii, wahdinii, warzuqnii)
“Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kasihanilah aku, berilah petunjuk kepadaku dan berilah rezeki kepadaku.”
2.
اللَّهُمَّ اغْفِرِ لِي، وارْحَمْنِي، واهْدِنِي، وعَافِنِي وارْزُقْنِي
(Allahummaghfirlii, warhamnii, wahdinii, wa 'afinii, warzuqnii)
"Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kasihanilah aku, berilah petunjuk dan kesejahteraan kepadaku dan berilah rezeki kepadaku."
Lafaz doa yag pertama itu, berdasarkan kepada hadith berikut:
Seorang ‘arab badwi datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata:
“Ajarkan saya satu ucapan yang saya akan ucapkan.”
Sabda Baginda, Ucaplah:
لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، اللهُ أَكْبَرُ كَبيراَ والْحَمْدُ للهِ كَثيراً، سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ العَالَمينَ، لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ باللهِ العَزيزِ الْحَكِيمِ
(Laa 'ilaaha 'illallaahu wahdahu laa shariika lahu, Allaahu 'Akbaru kabiiran, walhamdu lillaahi kathiiran, Subhaanallaahi Rabbil-'aalamiin, laa hawla wa laa quwwata 'illaa biilaahil-'Aziizil-Hakiim)
"Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, Allah Yang Maha Besar lagi Agung, segala pujian sebanyaknya bagi Allah.Maha Suci Allah, Tuhan sekalian alam, tidak ada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Mulia lagi bijaksana."
Berkata orang badwi itu, “Ucapan itu untuk Tuhanku, mana untuk diriku?”
Sabda Baginda SAW: “Ucaplah:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وارْحَمْنِي، واهْدِنِي، وارْزُقْنِي
(Allahummaghfirlii, warhamnii, wahdinii, warzuqnii)
yang bermaksud 'Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kasihanilah aku, berilah petunjuk kepadaku dan berilah rezeki kepadaku' [Riwayat Muslim]
manakala menurut riwayat Abu Dawud dengan tambahan: "Apabila orang badwi tersebut pergi, Nabi SAW bersabda: 'Sesungguhnya telah penuh kedua-dua tangannya dengan kebaikan'." [Lihat Hisnul Muslim, dalam bab Kelebihan Tasbih, Tahmid, Tahlil dan Takbir, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Adapun lafaz doa yang kedua itu, adalah ucapan yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada seseorang yang baru memeluk Islam dan ianya sudah pasti baik untuk kita beramal dengan doa ini.
Menurut riwayat Imam Muslim,
Apabila seorang lelaki memeluk Islam, Nabi SAW mengajarnya solat dan menyuruhnya berdoa dengan kalimah ini:
اللَّهُمَّ اغْفِرِ لِي، وارْحَمْنِي، واهْدِنِي، وعَافِنِي وارْزُقْنِي
(Allahummaghfirlii, warhamnii, wahdinii, wa 'afinii, warzuqnii)
"Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kasihanilah aku, berilah petunjuk dan kesejahteraan kepadaku dan berilah rezeki kepadaku."
manakala dalam riwayat yang lain menyebut kerana bacaan ini menghimpunkan bagimu kebaikan dunia dan akhirat.
Oleh itu, janganlah kita melalaikan diri daripada berdoa kepada Allah untuk memohon kebaikan dunia dan akhirat serta jangan kita berputus asa dalam mendapatkan rahmat Allah.
Berdoalah, kerana sesungguhnya Allah SWT kagum kepada hamba-Nya yang berdoa. [Riwayat Al-Tirmidzi dan Abu Dawud, Lihat As-Syamail Al-Muhammadiyyah dalam bab Cara Rasulullah SAW tertawa, Imam Tirmidzi]