Wednesday, May 7, 2014

DOA, KEPERLUAN DAN KEKUATANNYA – SUATU RINGKASAN.

Kebergantungan manusia kepada sang Pencipta, Allah SWT memang tidak boleh dinafikan. Sekuat mana pun, sepandai mana pun seseorang manusia itu, segala gerak kerja buatnya tetap tertakluk kepada keizinan Allah SWT. Sebab itulah, manusia yang beriman akan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan beribadah serta menggandakan ibadahnya dan berdoa kepada-Nya. Orang beriman diajar, sekiranya berdepan dengan kesulitan, musibah, kepayahan atau apa jua rintangan, maka janganlah berputus asa kerana masih ada jalan keluar baginya iaitu berdoa mengadu kepada Allah SWT. Inilah rahsia kekuatan bagi orang-orang yang beriman sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Daripada ‘Ali Bin Abi Tholib r.a;
“Doa merupakan senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit dan bumi”.
[Riwayat Abu Ya’la dan Al-Hakim, dinilai sahih oleh para muhadith]
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat 186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Allah menyuruh orang-orang yang beriman berdoa memohon kepada-Nya dan berjanji bahawa setiap doa permintaan itu pasti akan diperkenankan berdasarkan kepada firman-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takabur daripada beribadah dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
[Surah Al-Ghafir (Mu'min):60]
Cabang Ibadah
Doa adalah ibadah. Sudah pastilah ada nilaiannya di sisi Allah SWT. Pastilah Allah memberikan ganjaran pahala kepada sesiapa hamba-Nya yang berdoa.
Inilah tafsiran menurut pendapat Ibnu ‘Abbas, Al Dahhak dan Mujahid serta jamaah yang lain dalam menafsirkan ayat 60 surah Al Ghafir (Mu’min).
Pendapat ini disokong oleh sebuah hadith daripada Nu’man ibn Bashir, Rasulullah SAW bersabda;
الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ
“Doa adalah Ibadah” dan kemudian Baginda membacakan ayat
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
(“Berdoalah kamu kepada Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”)
[Riwayat Ibn Hibban dan Al-Hakim]
Berdoa itu merupakan suruhan Allah, maka jika ianya adalah suruhan Allah, maka sekiranya seseorang hamba Allah itu tidak melaksanakan suruhan itu pastilah kemurkaan Allah kepadanya.
Ini bersandarkan kepada hadith Rasulullah SAW:
Daripada Abu Hurairah:
من لم يدع الله غضب عليه
"Sesiapa yang tidak mahu berdoa kepada Allah SWT sudah pasti Allah SWT murka kepadanya"
[Riwayat Ahmad dan Hakim]
Kemurkaan Allah kepada hamba-Nya yang enggan berdoa dan beribadah memohon kepada-Nya buleh difahami apabila mereka ini diklasifikasikan sebagai orang yang sombong dan takabur daripada bergantung harap kepada Allah SWT dan mereka ini diancam dengan pengakhiran yang buruk iaitu dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam dalam keadaan hina.
[Lihat Tafsir Al Maraghiy, Huraian ayat 60, Surah Al-Ghafir (Mu’Min), Ahmad Mustafa Al-Maraghiy]
Menurut Imam Al-Maraghiy lagi di dalam tafsirnya, ayat ini merupakan ancaman berat terhadap orang yang sombong yang tidak mahu berdoa kepada Allah SWT dan juga merupakan kebaikan yang besar daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Ini disebabkan Allah SWT mengancam hamba-hamba-Nya yang tidak mahu berdoa meminta kebaikan kepada-nya tidak lain hanyalah untuk kebaikan mereka sendiri. Dalam hal ini, Allah SWT pemilik segala kebaikan serta segala kenikmatan, dan hendaklah meminta segala hajat kamu kepada Allah SWT yang telah menyuruh kamu meminta kepada-Nya, serta membimbing kamu bertawakkal kepada-Nya. Dan Allah SWT menjamin akan mengabulkan doa kamu, kerana Dia Maha Mulia dan Maha Pengasih. Sesungguhnya Dia pasti akan mengabulkan permintaan orang yang meminta kepada-Nya dan akan murka kepada orang yang tidak mahu meminta kepada-Nya sama ada dalam urusan agama mahupun dunianya.
[Lihat Tafsir Al Maraghiy, Huraian ayat 60, Surah Al-Ghafir (Mu’Min), Ahmad Mustafa Al-Maraghiy]
Adakah Doa itu memberi kesan?
Ada yang beranggapan berdoa ini tidak perlu dan tiada faedahnya kerana sekiranya perkara itu sememangnya pasti berlaku menurut ilmu Allah SWT tetap akan berlaku dan sekiranya ditetapkan tidak berlaku maka ianya tetap tidak akan berlaku. Menurut Dr Wahbah Az Zuhayli lagi, menurut jumhur ulama bahawa berdoa itu adalah manifestasi tahap ‘ubudiyyah yang terpenting.
Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT:
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takabur daripada beribadah dan berdoa kepada Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
[Surah Al-Ghafir (Mu'min):60]
Allah Maha Mendengar, maka berdoalah kepada-Nya, kerana Allah sangat hampir dengan hamba-Nya, bertepatan dengan Firman-nya:
وَاِذَا سَالَكَ عِبَادِي عَنِّي فَاِنِّي قَرِيبٌ اُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
"Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul".
[Surah Al-Baqarah:186]
Terdapat beberapa perkara yang tertakluk kepada syarat-syarat dan sebab musabab dalam takdir Allah, antaranya ialah doa. Ia merupakan ibadah yang diasaskan kepada pengetahuan. Orang yang berdoa mestilah mengetahui dengan sebaik mungkin tentang Tuhannya. Lantas meyakini bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, dan Maha Perkasa terhadap hamba-hambanya.
Menurut hadith daripada Muaz ibn Jabal, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
“Tidak berguna lagi sikap berhati-hati bagi seseorang yang telah ditakdirkan tetapi doa itu berguna terhadap sesuatu yang telah berlaku dan apa yang belum berlaku. Oleh sebab itu, hendaklah kamu berdoa.”
[Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan Al-Tabarani]
Bagaimanapun, kemakbulan doa bagi seseorang hamba Allah tertakluk kepada beberapa syarat seperti ia tidak melampaui batas-batas ketetapan Allah SWT. Sesiapa yang berdegil melakukan maksiat baik secara sedar mahupun tidak, ia telah melanggar batasan.
Menurut Dr Wahbah Al Zuhayli di dalam tafsirnya, ketika menghuraikan ayat 186 dari surah Al Baqarah ini, mengatakan kemakbulan doa oleh Allah SWT merangkumi petunjuk atau bimbingan ke arah memperoleh sebab musabab atau pemangkinnya; seperti dipermudahkan jalan memperolehi rezeki, sembuh dari penyakit dan mencapai kejayaan. Ini diiringi oleh kejayaan meraih hasil usaha berkenaan berkat taufik dan pemeliharaan Allah jua. Supaya doa dimakbulkan, makhluk perlulah mematuhi suruhan Allah dengan keimanan yang sahih. Mereka perlu taat dan melakukan ibadah yang bermanfaat untuk diri sendiri seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ketika itu barulah seseorang hamba mendapat balasan yang terbaik daripada Allah SWT. Amalan yang dilakukan dengan penuh keimanan, akan membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Rasionalnya, jika mereka menyahut suruhan Allah, maka segala permohonan mereka akan Allah tunaikan.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Ulasan dan huraian ayat 186 Surah Al-Baqarah, Dr Wahbah Al Zuhayli]
Adapun kaedah atau cara doa itu dimakbulkan dan masa dimakbulkan itu merupakan urusan Allah SWT yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-Nya.
Sheikh Ibnu Atho’illah Al-Iskandari di dalam Al-Hikam menyatakan,
Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan patah harapan, sebab Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Ia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukannya, bukan pada waktu yang engkau tentukan.
[Lihat Al-Hikam, Hikmah keenam, Pengertian Penerimaan Doa, Sheikh ibnu Atho’illah Al-Iskandari]
Syarat-syarat Berdoa:
Mestilah yakin bahawa tiada yang berkuasa melainkan Allah. Doa hendaklah dipohon dengan ketulusan niat dan kesungguhan di hati. Allah tidak mendengar (menerima) permohonan dari hati yang leka dan lalai. Orang yang berdoa itu juga hendaklah menjauhkan diri dari mencari rezeki yang haram. Janganlah jemu-jemu dan berputus harap dalam berdoa. Kandungan doa mestilah yang diharuskan oleh syara’ iaitu tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutuskan silaturrahim.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat ke-186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Menurut sheikh Ibnu Atho’illah Al-Iskandari, syarat utama untuk diterimanya suatu doa, ialah keadaan terpaksa (terdesak). Ini berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud;
أَمَّن يُجِيبُ الْمُضْطَرَّ إِذَا دَعَاهُ
“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita (terdesak terpaksa) apabila ia berdoa kepada-Nya.”
[Surah An-Naml:62]
Keadaan terpaksa (terdesak) itu, bila merasa tidak ada sesuatu yang diharapkan selain semata-mata kurnia Allah, tidak ada sesuatu yang dapat dijadikan perantara baik dari luar yang berupa benda, atau dari dalam dirinya sendiri.
[Lihat Al-Hikam, Hikmah keenam, Pengertian Penerimaan Doa, Sheikh ibnu Atho’illah Al-Iskandari]
Menurut Sahl bin ‘Abdullah Al-Tustari, syarat diterima doa ada tujuh (7):
1. Memohon dengan sepenuh hati dan rendah diri.
2. Takut kepada Allah.
3. Berdoa dengan penuh harapan.
4. Berterusan.
5. Khusyuk.
6. Berdoa secara umum (serba menyeluruh).
7. Makanan perlu dari sumber yang halal.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat ke-186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Waktu-waktu yang digalakkan berdoa, menurut pelbagai riwayat ialah:
1. Waktu dini hari (sepertiga malam, waktu sahur)
2. Waktu berbuka puasa.
3. Antara Azan dan iqamah.
4. Waktu zohor dan ‘Asar pada hari rabu.
5. Waktu terdesak (terpaksa).
6. Ketika bermusafir dan sakit.
7. Semasa hujan turun.
8. Pada saat pertempuran tentera Islam dan tentera kafir.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat ke-186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Setiap hamba yang berdoa, nescaya Allah memakbulkannya. Jika permintaan doanya itu merupakan habuan rezekinya di dunia, maka ia akan memperolehinya. Akan tetapi jika tidak menjadi rezekinya di dunia, maka ia merupakan ganjaran yang akan disimpankan untuknya pada hari akhirat kelak, inilah pengertiaan doa menurut ibnu ‘Abbas.
[Lihat Tafsir Al-Munir, Juz 2 Surah Al-Baqarah, Huraian ayat ke-186, Dr Wahbah Az-Zuhaily]
Yang demikian itu, kita sebagai hamba yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, beriman kepada Malaikat-Nya, kepada Kitabullah, Hari Akhirat serta Qadha’ dan Qadar-Nya hendaklah sentiasa berdoa dan menjadikan amalan berdoa ini sebagai rutin ibadah seharian serta janganlah berputus asa dan harap dalam berdoa. Kerana Allah SWT telah berjanji akan memperkenankan setiap doa selagi mana ianya bertepatan dengan syara’ dan pastilah janji Allah itu benar.
Beristighfar dan berdoalah teman-teman, kerana doa itu merupakan sebahagian daripada pengampunan (istighfar), mudah-mudahan Allah mengangkat ianya sebagai amalan kita yang soleh di sisi-Nya serta mengurniakan kita darjat insan yang bersyukur dan bertakwa kepada-Nya. Semoga Allah menetapkan iman kita dan mengekalkan diri kita di dalam nikmat iman dan Islam kerana itulah sebesar-besar dan sebaik-baik nikmat. Insha Allah. Amin.
Abu Durrah
08 Rejab 1435H
08 May 2014M
Bangi

Sunday, May 4, 2014

Amalan Bulan Rejab

Kita sering dengar ungkapan doa ini,
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Allahumma baarik lanaa fii Rajab wa Sya’ban wa ballighnaa Ramadhan”,
Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rajab dan Sya’ban, serta sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.
Riwayat selengkapnya mengenai do’a tersebut adalah sebagai berikut.
حَدَّثَنَا عَبْد اللَّهِ حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ عَنْ زَائِدَةَ بْنِ أَبِي الرُّقَادِ عَنْ زِيَادٍ النُّمَيْرِيِّ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ وَكَانَ يَقُولُ لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ
Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah, telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidullah bin Umar dari Za`idah bin Abu Ar Ruqad dari Ziyad An Numairi dari Anas bin Malik, ia berkata, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam apabila memasuki bulan Rajab, maka beliau mengatakan,
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Allahumma baarik lanaa fii Rajab wa Sya’ban wa ballighnaa Ramadhan”,
[Ya Allah, berkahilah kami di bulan Rajab dan Sya’ban, serta sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan.]
Kemudian Baginda menambah,”Malam jum’at adalah mulia dan harinya terang benderang.”
Riwayat di atas dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya (1/259), Ibnu Suniy dalam ’Amalul Yaum wal Lailah, Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman (3/1399), An Nawawi dalam Al Adzkar (245)
Dalam hadits ini terdapat Zaidah bin Abi Ar Ruqod dan Ziyad An Numiari. Imam Al Bukhari dan Ibnu Hajar Al Asqolani menilai Zaidah bin Abi Ar Ruqod sebagai munkarul hadits. Sedangkan Ziyad bin ‘Abdillah An Numari dikatakan oleh Yahya bin Ma’in dan Ibnu Hajar sebagai perowi yang dho’if.
Hadits ini dikatakan dho’if (lemah) oleh Ibnu Rajab dalam Lathoif Ma’arif (218), Syaikh Al Albani dalam tahqiq Misykatul Mashobih (1369), dan Syaikh Syu’aib Al Arnauth dalam takhrij Musnad Imam Ahmad.
Hadits ini dinilai dho’if oleh:
Adz Dzahabi dalam Mizanul I’tidal (2/65).
Ibnu Rajab dalam Lathoif Ma’arif (218).
Ibnu Hajar Al Asqolani dalam Tabyinul ‘Ajb (19).
Syu’aib Al Arnauth menilai sanadnya dho’if dalam tahqiq musnad Imam Ahmad (1/259).
sumber: http://muslim.or.id/hadits/ya-allah-berkahilah-kami-di-bulan-rajab.html