Tuesday, August 11, 2015

Kelebihan Mengucap Salam

Kelebihan Mengucap Salam
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : والذي نفسى بيده لا تدخلوا الجنة حتى تؤمنوا، ولا تؤمنوا، حتى تحابوا اولا أدلوكم على شئ إذا فعلتموه تحاببتم؟ أفشوا السلام بينكم
( رواه مسلم)
Daripada Abu Hurairoh Radiyallahu 'Anhu katanya, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Demi diriku di dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan masuk Syurga hingga kamu beriman dan tidak sempurna iman kamu hingga kamu berkasih sayang sesama muslim. Sukakah kamu jika aku tunjukkan kepada kamu suatu perkara yang apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih sayang? Sebarkan salam di antara kamu."
[Riwayat Muslim, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Kelebihan Kasih Kerana Allah, Imam Nawawi]
Ada 3 perkara yang apabila orang mampu melakukannya maka dia telah mengumpulkan keimanan:
1. Menginsafi diri. [Insaf membawa makna mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan dan melaksanakan seluruh tuntutan dan suruhan-Nya serta meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dan juga menunaikan hak-hak orang lain iaitu ahli masyarakat di sekelilingnya.]
2. Mengucap salam kepada orang alim; dan
3. Memberi derma dalam keadaan fakir. [ Ini kerana kebiasaannya jika seseorang itu dalam kesusahan adalah sukar baginya untuk menolong orang (bersedekah), maka jika sekiranya dia bersedia melakukan tuntutan ini (menolong dan bersedekah), maka dia adalah seorang yang yakin kepada janji Allah.]
Sememangnya kita digalakkan (sunat) untuk memberi salam kepada sesiapa sahaja berdasarkan hadith berikut:
عن عبد الله بن عمرو
أي الإسلام خير؟ قال : تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف
(متفق عليه)
Daripada Abdullah bin Amru r.a: Seorang lelaki bertanya Nabi SAW:'Manakah Islam yang paling baik?' Sabda Baginda yang bermaksud: 'Hendaklah engkau memberi makan & mengucap salam kepada mereka yang kamu kenal dan yang tidak kenal'.
[Riwayat Al-Bukhari & Muslim, Bab Mengucap salam, Hisnul Muslim, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Semoga bermanfaat dan selamat beramal.
Abu Durrah
27 Syawal 1436H
12 Ogos 2015
Bangi

Thursday, August 6, 2015

Kelebihan Hari Jumaat dan Selawat Ke atas Rasulullah SAW

Orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW akan mendapat kedudukan yang baik di sisi Allah SWT. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW merupakan amalan di antara amalan-amalan yang digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah SWT. Maka dengan itu rebutlah tawaran yang hebat ini guna untuk merebut rahmat Allah SWT dan sentiasalah membasahi bibirmu dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di mana jua kita berada.
Suruhan atau galakkan berselawat ke atas Rasulullah SAW ini disebut oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
yang bermaksud:
"Sesunguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad SAW, wahai orang-orang yang beriman!, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".
[Surah Al-Ahzab:56]
Maka berselawatlah kita sekurang-kurangnya dengan lafaz اللهم صلّ على محمد atau اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلَّمْ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ untuk memperolehi ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT. Menurut hadith riwayat At-Tabarani melalui sanad yang baik, "Sesiapa yang berselawat ke atasku pada waktu pagi 10 kali dan waktu petang 10 kali, dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat".
[Lihat Hisnul Muslim, Zikir Pagi dan Petang, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Manakala hari jumaat merupakan hari yang disuruh kita memperbanyakkan berselawat ke atas junjungan besar umat ini kerana pada hari jumaat bacaan selawat sesiapa yang mengucapkannya akan dipersembahkan kepada Baginda Rasulullah SAW, sebagaimana hadith daripada Aus Bin Aus ini:
وهن اوس بن اوس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم؛ إن من أفضل أيامكم يوم الجمعة فأكثروا علىّ من الصلاة فيه، فإن صلاتكم معروضة علىّ، قالوا يا رسول الله و كيف تعرض صلاتنا عليك وقد أرمت قال: يقول بليت، قال: إن الله حرم على الأرض أجساد الأنبياء
( رواه ابو داود بإسناد صحيح)
Daripada Aus Bin Aus Radiyallahu 'Anhu katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: Sesungguhnya di antara hari-hari yang paling mulia ialah hari Jumaat. Maka hendaklah engkau semua memperbanyakkan berselawat ke atasku pada hari tersebut, kerana bacaan selawat engkau akan ditunjukkan kepadaku. Para sahabat berkata: " Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami itu akan ditunjukkan kepada tuan sedangkan tuan telah hancur tubuhnya?, dalam riwayat yang lain disebut dengan kata-kata, " sedangkan tuan telah rosak tubuhnya?" Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda , " Sesungguhnya Allah mengharamkan kepada tanah-tanah memakan tubuh para nabi".
[Riwayat Abu Dawud dengan isnad yang sahih, Lihat Riyadh al Solihin, Bab selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
Hari jumaat juga merupakan hari yang paling mulia di antara hari-hari yang dijadikan oleh Allah SWT dan kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada hari tersebut dan di antara amalan soleh itu ialah berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.
Manakala ucapan selawat yang dalam versi penuh yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat dan untuk diamalkan oleh kita semua ialah seperti yang dinyatakan melalui hadith-hadith berikut:
وعن ابي مسعود البدري رضي الله عنه، قال: أتانا رسول الله صلى الله عليه وسلم، ونحن في مجلس سعد بن عبادة رضي الله عنه، فقال له بشير ابن سعد: أمرنا ان نصلى عليك يا رسول الله، فكيف نصلى عليك؟ فسكت رسول الله صلى الله عليه وسلم حتى تمنّينا انه لم يسأله، ثم قال: رسول الله صلى الله عليه وسلم قولوا: اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على ابراهيم، وبارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على ابراهيم إنك حميد مجيد، والسلام كما قد علّمتم
(رواه مسلم)
Daripada Abu Mas'ud Al Badri Radiyallahu 'Anhu katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم datang kepada kami semua di dalam satu majlis Saad Bin 'Ubadah Radiyallahu 'Anhu , lalu Basyir Bin Saad berkata kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم, " Allah telah memerintah kami supaya mengucap selawat kepada tuan Ya Rasulullah صلى الله عليه وسلم maka bagaimana cara kami akan berselawat kepada tuan?" Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم berdiam sehingga kami mengharapkan bahawasanya alangkah baiknya jika Basyir tidak mengemukakan soalan itu kepada Baginda, kemudian Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Ucapkanlah olehmu اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على ابراهيم، وبارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على ابراهيم إنك حميد مجيد dan cara-cara mengucap salam sepertimana engkau semua telah diajarkan".
[Riwayat Muslim, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
وعنه ابي محمد كعب بن عجزة رضي الله عنه قال: خرج علينا النبي صلى الله عليه وسلم فقلنا : يا رسول الله، قد علمنا كيف تسلم عليك، فكيف تصلى عليك ؟ قال قولوا اللهم صلّ على محمد وعلى آل محمد كما صليت على آل إبراهيم إنك حميد مجيد. اللهم بارك على محمد على آل محمد كما باركت على آل إبراهيم إنك حميد مجيد
( متفق عليه)
Daripada Abu Muhammad Ka'ab Bin Ujrah Radiyallahu 'Anhu katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah keluar kepada kami, maka kami berkata: " Wahai Rasulullah! sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara memberi salam kepada Engkau, tetapi bagaimanakah cara kami membaca selawat kepada Engkau?, " Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, katakanlah olehmu " اللهم صلّ على محمد وعلى آل محمد كما صليت على آل إبراهيم إنك حميد مجيد. اللهم بارك على محمد على آل محمد كما باركت على آل إبراهيم إنك حميد مجيد
[Muttafaqun 'alaih, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
Daripada Abu Humaidi As-Sa'idi Radiyallahu 'Anhu katanya, para sahabat berkata: " Wahai Rasulullah, bagaimana cara kami mengucapkan selawat kepada engkau?, Lalu Rasulullah bersabda, " Ucapkanlah: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِـهِ وَذُرِّيَّـتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ. وَبَارِكْ عَلَى مُحمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ("Ya Allah, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, isteri-isterinya dan keturunannya seperti yang Engkau telah kurniakan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Berkatilah ke atas Nabi Muhammad, isteri-isterinya dan keturunannya seperti yang telah Engkau berkati ke atas keluarga Nabi Ibrahim. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia".)
[Muttafaqun 'alaih, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
Kelebihan berselawat:
Di antara kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang dijanjikan ialah:
1.
وعنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم : قال : ما من أحد يسلم علىّ إلا ردّ الله علىّ روحي حتى أرد عليه السلام
(رواه ابو داود بإسناد صحيح)
Daripada Abu Hurairoh Radiyallahu 'Anhu bahawasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم berabda, " Tiada seorang pun yang memberi salam ke atasku melainkan Allah mengembalikan rohku hingga aku menjawab salam orang itu".
[Riwayat Abu Dawud dengan sanad yang sahih, Lihat Riyadh al Solihin, Bab selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
[Lihat Hisnul Muslim, Kelebihan berselawat ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
2.
وعن أبي هريرة رضي الله عنه قال: رسول الله صلى الله عليه وسلم : رغم أنق رجل ذكرت عنده فلم يصل علىّ
(رواه الترمزي وقال : حديث حسن)
Daripada Abu Hurairoh Radiyallahu 'Anhu katanya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, "Tersangat hinalah seseorang yang mana apabila namaku disebutkan di sisinya, ia tidak berselawat ke atasku".
[Riwayat At-Tirmidzi dan katanya hadith hasan, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
3.
وعن ابي مسعود رضي الله عنه أنه رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : أولى الناس يوم القيامة أكثرهم على الصلاة
(رواه الترمذي ، وقال حديث حسن)
Daripada Abu Mas'ud Radiyallahu 'Anhu bahawasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, " Manusia yang paling mulia bagiku di hari kiamat ialah mereka yang terbanyak berselawat ke atasku".
[Riwayat At-Tirmidzi, dan katanya hadith hasan, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
4.
وعنه أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا تجعلوا قبري عيدا، وصلوا علىّ فإن صلاتكم تبلغني حيث كنتم
(رواه أبو داود بإسناد صحيح)
Daripada Abu Hurairoh Radiyallahu 'Anhu katanya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, " Janganlah engkau jadikan kuburku sebagai hari raya (tempat perayaan - jangan berkumpul kerana menziarahiku pada hari-hari raya) dan berselawatlah kamu semua kepadaku, kerana sesungguhnya bacaan selawat itu sampai kepadaku di mana jua kamu berada".
[Riwayat abu Dawud dengan isnad yang sohih, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
[Riwayat Ahmad, Lihat Hisnul Muslim, Kelebihan berselawat ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
5.
وعن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من صلّى على صلاة صلّى الله عليه بها عشرا
( رواه مسلم)
Daripada Abdullah Bin Amru Bin Al-'As Radiyallahu 'Anhuma bahawasanya ia mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan memberi rahmat kepadanya sepuluh kali"
[Riwayat Muslim, Lihat Hisnul Muslim, Kelebihan berselawat ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم,Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
6.
وعن علي رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: البخيل من ذكرت عنده فلم يصل علىّ
( رواه الترمذي ، قال حديث حسن وصحيح)
Daripada 'Ali Radiyallahu 'Anhu katanya: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: "Orang yang bakhil (kedekut) ialah orang yang apabila disebut namaku di sisinya, dia tidak mahu berselawat ke atasku".
[Riwayat At-Tirmidzi dan katanya hadith ini hasan sahih, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم, Imam Nawawi]
[Riwayat At-Tirmidzi dan lainnya, Lihat Hisnul Muslim, Kelebihan berselawat ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم,Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Marilah kita sama-sama mengamalkan berselawat kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagai zikir harian kita, mudah-mudahan Allah menerimanya sebagai amalan soleh kita dan menaungi kita dengan rahmat-Nya.
Semoga bermanfaat dan selamat beramal.
Abu Durrah
22 Syawal 1436H
07 Ogos 2015M
Bangi