Friday, February 8, 2013

Ubudiyyah - Pengabdian Terhadap Allah SWT.

Ubudiyyah secara umumnya memberi makna ibadah manakala secara khususnya dapat difahami dengan erti pengabdian kepada Allah SWT. Inilah yang merupakan sebab mengapa Allah SWT menciptakan manusia dan jin itu sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku (Allah)”.[Al Dzariyat:56]
Kejadian manusia dicipta oleh Allah SWT membawa satu tugas yang mesti dilaksanakan, iaitu pengabdian kepada Allah SWT. Pengabdian secara mutlak hanya untuk Allah SWT tidak kepada yang lain, hal ini merupakan perkara pokok dan tidak boleh bersekutu dengan yang lain. Ini bertepatan sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:
”Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin-pemimpin di kalangan kamu maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah dan rasul sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, itulah penyelesaian yang sebaik-baiknya”.[An Nisa’:59]
Ayat ini merupakan satu ayat yang penting kepada umat Islam supaya mereka menyedari di samping mereka menjadi hamba-hamba Allah yang beragama, mereka juga menjadi hamba-hamba Allah yang memahami tanggungjawab ketaatan dan ubudiyah. Berdasarkan kepada fasa pertama ayat di atas, “Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah, taatilah rasul dan pemimpin-pemimpin di kalangan kamu…” [An Nisa’:59]
Di mana ketaatan diulangi kepada Allah dan rasul adapun tidak untuk pemimpin. Ini memberi makna yang sangat besar dan penting yang perlu difahami oleh umat Islam. Maknanya ketaatan kepada Allah dan juga rasul adalah mutlak dan tidak berbelah bahagi kerana Allah Taala itu Tuhan yang suci daripada segala sifat. Tuhan yang Maha Sempurna, Maha Adil, Maha Bijaksana dan tidak boleh dipertikaikan walaupun sedikit sama ada dalam hukum yang halus dan keras mengandungi hikmah yang memberi kebaikan kepada manusia di dunia dan di akhirat.
Inilah yang dikatakan mengimani Allah SWT dan ta’abud atau pengabdian (ubudiyyah) kepada Allah SWT secara Uluhiyyah dan Rububiyyah. Tidak ada lain yang berhak disembah atau diperhambakan diri kepadanya selain daripada Allah SWT yang amat pemurah.
Sememangnya manusia yang mengaku beriman kepada Allah SWT hendaklah menzahirkan pengabdian kepada Allah SWT dengan tiada pilihan. Wajiblah setiap yang beriman mengikhlaskan ubudiyyah kepada Allah SWT dengan memberikan hak uluhiyyan serta rububiyyah dengan pengabdian yang sempurna (dari segi keagungan, kecintaan dan ketaatan) hanya kepada Allah SWT semata. Ini dapat difahami dengan merujuk kepada firman-firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mendirikan solat), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkannya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu Berjaya (di dunia dan di akhirat).”[Al Hajj:77]
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.” [ Al An’am:162]
“..padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang disembah dengan sebenarnya) melainkan Ia; Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” [At Tawbah:31]
Berdasarkan kepada keterangan-keterangan di atas, pengabdian (ubudiyyah) kepada Allah SWT mestilah bersifat mutlak dengan tiada sedikit pun keraguan dan syak.
Ubudiyyah melahirkan kesempurnaan tauhid sekiranya ianya ditemani dengan ikhlas. Ikhlas itu merupakan sesuatu yang tidak bercampur maka sudah barang tentu sekiranya ikhlas itu hadir dalam hati seseorang maka akan melahirkan taqwa dan inilah yang menjadi wawasan ubudiyyah kepada Allah SWT.
Menurut Dr Yusuf Al-Qardhawi, pegabdian kepada Allah SWT itu akan tercapai dengan melalui tiga perkara berikut:
i. Jangan menjadikan selain daripada Allah SWT sebagai Tuhan sehingga mengagungkan selain daripada Allah SWT itu sama seperti mengagungkan Allah. Setiap yang diambil dan dijadikan oleh manusia sebagai tuhan kemudian disembah dan diagungkan (selain daripada Allah atau bersama Allah) wajib dibuang atau dihapuskan samada tuhan-tuhan itu terdiri daripada batu-batu atau manusia , dan inilah seruan yang diajukan oleh Rasulullah SAW kepada para pemerintah dan raja-raja dan seluruh manusia di zamannya. Allah berfriman yang maksudnya:
“Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.” [Ali Imran:64]
ii. Jangan mengambil selain daripada Allah sebagai penolong (wali) dan mencintai sama seperti mencintai Allah. Ini kerana Allah melarang orang Islam dari berbuat demikian sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah.” [Al Baqarah:165]
Ayat di atas melarang manusia dari mencintai dan mentaati mana-mana makhluk sepertimana mencintai Allah dan mentaati-Nya, kerana mentaati sedemikian rupa berlawanan dengan hakikat tauhid. Muhammad Abdul Wahab ada menyebut bahawa mana-mana orang yang mencintai berhala-berhala sama seperti mencintai Allah, itu menunjukkan bahawa ia tidak menyintai Allah dengan sebenarnya. Inilah bentuk ubudiyyah atau pengabdian yang songsang dan perlu dijauhi.
iii. Janganlah mencari hakim selain dari Allah, dan memberi ketaatan hanya kepada Allah jua. Bagi mencapai pengertian ubudiyyah yang sebenar, maka jangan dicari hakim selain daripada Allah SWt bahkan patuhilah hokum-hukum yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran dan hadis. Allah berfirman yang maksudnya:
“(Katakanlah wahai Muhammad): ‘Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain daripada Allah, padahal Dialah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang benar dan yang salah)?” [Al An’am:114]
Sesungguhnya yang mempunyai hak penentu bagi segala hamba-Nya serta hak menggubal perundangan untuk mereka, dalam urusan agama dan dunia hanya Allah sahaja. Ia amat mengetahui tentang kejadian mereka. Ia amat mengasihi hamba-hambanya serta amat mengetahui tentang kejadian mereka. Ia amat mengasihi hamba-hambaNya serta amat mengetahui apa yang buruk dan yang baik bagi hamba-Nya.
Inilah erti ubudiyyah yang bertepatan dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan menjadi kewajiban setiap muslim untuk mencapainya.

No comments:

Post a Comment