Friday, February 8, 2013

Beriman Kepada Allah

Persoalan ini berkisar kepada prinsip pertama di dalam rukun Iman iaitu beriman kepada Allah.Prinsip pertama rukun iman ini bersangatan kaitannya dengan prinsip pertama di dalam rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah.Lafaz ungkapan kalimah syahadah itu mempunyai dua unsur iaitu unsur yang pertama ialah persaksian dalam menafikan segala kewujudan ketuhanan melainkan Allah SWT dan persaksian bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah seorang utusan Allah SWT. Unsur pertama di dalam lafaz syahadah inilah yang merupakan asas beriman kepada Allah yang menjadi rukun Iman yang pertama memberi makna serta penekanan bahawa inilah perkara yang menjadi roh kepada agama Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka barangsiapa yang kufur kepada thoghut dan beriman kepada Allah maka sesungguhnya ia telah berpegang dengan simpulan yang amat kuat.” [Al Baqarah:256]
Beriman kepada Allah mestilah dalam bentuk keimanan yang menyeluruh merangkumi aspek Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma wa Sifat Allah SWT. Tidak diakui keimanan dan keIslaman seseorang jika dia menerima sebahagian sahaja dengan beriman atau percaya hanya pada Rububiyyah Allah SWT.
Beriman kepada Allah dalam aspek Rububiyyah iaitu dengan mentauhidkan Allah pada penciptaan ‘alam, menguruskannya, mentadbir, memiliki, memelihara, menghidupkan, mematikan, memberi rezeki, memberi mudharat serta manfaat kepada sesuatu.Dialah juga yang mentadbir sekelian makhluk samada di langit dan dibumi serta di antara keduanya.Tauhid Rububiyyah ini diakui dan diterima oleh semua golongan manusia tidak kira dia seorang Islam atau kafir melainkan golongan atheis yang sememangnya tidak percaya kepada kewujudan Tuhan. Ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud:
“Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): ‘siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan ?Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup?Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekelian alam?’ “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata:”Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah:”(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” [Yunus:31]
Keimanan hanya pada sifat rububiyyah Allah SWT ini tidak diterima selagimana ianya tidak disertakan keimanan dari segi uluhiyyah sepertimana yang dituntut oleh lafaz dua kalimah syahadah ketika mana seseorang itu hendak memeluk dan menerima Islam.
Dr Muhammad Naim Yasin di dalam kitabnya ‘Al iman:Arkanuhu wa hakikatuhu wa nawaqiduhu’ menjelaskan:
‘Adapun mereka yang mengakui bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala-gala, tetapi tidak mentauhidkan pada Uluhiyyahnya , dalam ertikata masih mensyirikkan Allah dalam beribadah dan tidak mentauhidkanNya pada Asma’ atau nama sifatNya, masih mentaktilkan (membekukan) sifat-sifatNya atau menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat-sifat makhluk ataupun mentakwilkan dengan takwilan yang salah, maka tauhid ini tidak memberi manfaat kepadanya dan tidak dapat mengeluarkan mereka daripada kufur kepada iman.’
Pengingkaran kepada tauhid uluhiyyah ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dan sebahagian besar dari mereka itu tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkan Allah (dengan sembahan/lain).” [Yusuf:106]
Manhaj berkata mengenai ayat ini ‘ iman mereka kepada Allah hanya pada perkataan sahaja iaitu mereka berkata, “Allh menciptakan kita, memberi rezeki kepada kita dan mematikan kita” di samping kepercayaan demikian mereka mensyirikkan Allah dengan yang lain dalam beribadah.’
Sedangkan yang dikatakan beriman kepada Allah itu mestilah merangkumi kesemua aspek dengan menerima dan mengimani Allah itu juga dari segi uluhiyyahNya dengan memperhambakan diri kepadaNya secara dizahirkan ibadah terhadapNya.Inilah juga intipati kepada lafaz syahadah itu iaitu ‘Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan kepada Allah sahaja’. Allah sahaja yang berhak disembah, dikasihi dan ditaati serta ditakuti dengan sebenar-benarnya, kepadaNya ditujukan segala tawakkal, harapan dan doa sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Engkau sahaja (Ya Allah) Yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” [Al Fatihah:5]
Kemudiannya beriman kepada Allah SWT itu mestilah dii’tiqadkan bahawa Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan Maha suci Allah dari segala sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesaran-Nya.Segala nama dan sifat Allah itu tidak menyerupai nama dan sifat makhluk-Nya. Inilah yang dikatakan beriman kepada Allah dari aspek Asma’ dan Sifat.
Beriman kepada Allah dengan menolak segala bentuk persamaan mengenai Sifat dan Zat Allah SWT sebagaimana yang difirmankan-Nya yang bermaksud:
“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang maha Mendengar lagi Maha Melihat.”[ As Syuura:11]
Di dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman yang maksudnya:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya.Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” [Al A’raaf:180]
Bagi meletakkan iman kepada Allah SWT di landasan yang tepat, maka seorang muslim mestilah mengisbatkan nama-nama dan sifat-sifat-Nya sebagaimana yang telah diisbatkan oelh Allah SWT di dalam Al-Quran dan oleh rasulullah SAW di dalam hadis baginda tanpa dilakukan sebarang perubahan dan penapisan yang berlawanan dengan apa yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Itulah beriman kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment