Friday, February 8, 2013

HADITH SEBAGAI SUMBER TASYRI’ (PERUNDANGAN) YANG KEDUA - SUATU RINGKASAN

1. PENDAHULUAN
Sebuah hadith yang bermaksud “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah SAW” [Riwayat Imam Malik]. Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa As-Sunnah (Hadith) merupakan rujukan kedua tertinggi selepas al-Quran. Ia berperanan melengkapkan dan menghuraikan lagi hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran.
2. TAKRIFAN
Takrifan hadith menurut bahasa ada pelbagai; yang pertama ialah Yang baharu, kedua ialah Perkhabaran dan ketiga ialah Yang dekat atau yang belum lama. Selain itu hadith juga disandarkan maknanya dengan percakapan, keterangan, mimpi dan cerita atau kisah berdasarkan ayat-ayat di dalam Al-Quran. Menurut istilah ahli hadith pula ianya bermaksud segala ucapan Nabi, segala perbuatan dan segala keadaannya. Segala apa yang disandarkan kepada Nabi, baik berupa ucapan, perbuatan, sifat dan pengakuan.
Adapun takrifan hadith seperti yang dilaporkan oleh laman sesawang Wikipedia seperti berikut: Hadith (bahasa Arab: alhadīth kata mufrad, ahādīth kata jamak); adalah laporan perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya.
Hadith ialah himpunan pengisahan dan keizinan. Walaupun terdapat setakat perbezaan antara takrif Hadith dengan takrif Sunnah yang dihuraikan di atas, perkataan-perkataan Sunnah dan Hadith boleh ditukar ganti ketika merujuk kepada Tradisi-tradisi.
Hadith-hadith dikelaskan mengikut statusnya berhubungan dengan teks (matan) dan rentetan penyampainya (isnad). Cendekiawan-cendekiawan Hadith telah mengaji Sunnah, baik dari segi konteks (matan) mahupun dari segi penyampainya untuk menentukan apa yang benar dan apa yang palsu dalam hadith-hadith itu. Kajian mereka telah mempengaruhi perkembangan falsafah Muslim awal serta juga pemetikan saintifik moden.
Melalui penyelidikan tentang para penyampai Hadith (isnad), cendekiawan-cendekiawan sains Hadith telah mencipta sebuah sistem untuk mengetahui kategori-kategori Hadith yang berbeza, serta bagaimana menilai teksnya (matan) supaya dapat menentukan adakah teks itu betul, baik, lemah, atau palsu. Terdapat sebuah tradisi tentang kedua-kedua biografi sejarah (Ilm ar-Rijal) Nabi Muhammad s.a.w. serta juga tentang bagaimana mengesahkan hadith — isnad atau "bahan sokongannya".
3. DALIL AL-QURAN
Keabsahan bahawa hadith merupakan sumber perundangan kedua dalam Islam diiktiraf oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Berikut merupakan beberapa nas yang di ambil daripada Al-Quran sebagai sandaran hujah.
i. Kewajiban seorang muslim merujuk kepada Allah dan Rasul-Nya dalam perkara-perkara yang menjadi pertikaian sebagaimana Firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah SWT (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya.” [Surah An-Nisa’:59]
ii. Di dalam ayat yang lain, Allah SWT memerintahkan kepada hamba-Nya agar mengambil apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasul-Nya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan..” [Surah Al Haysr:7]
iii. Seorang muslim wajiblah mengambil Rasulullah SWT sebagai hakim dalam perkara yang berlaku perselisihan dan mesti menerima keputusannya. Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad), mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak pula merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [Surah An-Nisa’:65]
iv. Tiada pilihan bagi orang Islam dalam perkara yang telah diputuskan oleh Allah atau Rasul-Nya: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara – mempunyai (memilih) ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan siapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatannya yang jelas nyata.” [Surah Al-Ahzab:36]
v. Rasulullah SAW adalah seorang yang maksum, iaitu dipelihara oleh Allah SWT, maka segala apa yang diperkatakan oleh Baginda itu adalah berdasarkan perintah Allah. Ini berdasarkan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan dia (Muhammad SAW) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya.” [Surah An-Najm:31]
vi. Menyalahi apa yang Rasulullah SAW perintahkan merupakan suatu kesalahan, ini sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya beringat serta berjaga-jaga supaya mereka tidak ditimpa fitnah atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” [Surah An-Nur:63]
vii. Allah telah member kuasa kepada Rasul-Nya untuk menerangkan hukum-hukum Al-Quran, kerana terdapat dalam Al-Quran beberapa hokum mujmal (ringkas) yang perlu kepada perincian dan penjelasan supaya dapat dilaksanakan dengan tepat, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kamilah yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka.” [Surah An-Nahl:44]
4. DALIL AL-SUNNAH
Hadith atau sunnah sebagai sumber hukum, diperakui oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang kepada kedua-duanya: Iaitu Al-Quran dan Sunnahku.” [Riwayat Imam Malik]
Dalam hadith yang lain, Baginda bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ al Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku.” [Riwayat Abu Dawud dan At Tirmidzi]
5. PENDAPAT ULAMA BERKENAAN HADITH SEBAGAI SUMBER HUKUM
Jumhur ulama berpendapat bahawa sunnah berkedudukan sebagai sumber atau dalil kedua setelah Al-Quran dan mempunyai kekuatan untuk ditaati serta mengikat untuk semua umat Islam. Asas kepada pendapat jumhur ini adalah seperti yang telah dinyatakan sebelum ini iaitu daripada nas-nas Al-Quran dan hadith Rasulullah SAW.
Bersandarkan kepada nas-nas Al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, jumhur ulama telah membahaskan seperti berikut: Dalil-dalil yang qat’ie daripada Al-Quran menyuruh umat Islam beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mentaati suruhan Rasul dan menetapkan bahawa yang dikatakan Nabi seluruhnya adalah berdasarkan wahyu.
Berkenaan dengan hadith pula, jumhur ulama berbahas dan berpendapat bahawa: Dalalah dari hadith: sepakat mengatakan status dalil hadith mutawatir adalah qat’ie (meyakinkan), sedangkan hadith ahad adalah dhanni (disangka kuat kebenarannya). Hanya hadith mutawatir yang dapat dipegangi sebagai dalil/hujah dalam masalah ‘aqaid, sedangkan hadith ahad hanya dapat sebagai hujah masalah amalan.
Dari segi boleh diikuti atau ditinggalkan sesuatu sunnah:
i. Sunnah Tasyri’ (Sunnah berdaya hukum) yang mengikat untuk diikuti. Sunnah ini terdiri dari ‘aqidah, akhlak dan hukum-hukum amaliyah.
ii. Sunnah bukan tasyri’, iaitu sunnah yang tidak berdaya hukum dan tidak mengikat untuk diikuti. Kekuatan sunnah sebagai sumber hukum ditentukan oleh kebenaran sebab wurudnya dan penunjukkannya terhadap hukum. Dari segi kebenaran sebab wurudnya, kekuatan sunnah mengikuti kebenaran pemberitaannya yang terdiri dari tiga tingkatan iaitu; mutawatir, mayshur dan ahad.
Tingkatan ini bukanlah bererti adanya pendapat penolakan hadith sebagai sumber hukum, tetapi hanya dari segi syarat penerimaan hadith sahaja, sedangkan telah sepakat jumhur ulama mengatakan bahawa hadith atau sunnah adalah sumber kedua dalam perundangan dan syariat Islam.
6. PENUTUP
Jelaslah, berdasarkan kepada nas-nas Al-Quran, perakuan hadith daripada Rasulullah SAW serta pendapat jumhur ulama yang dibawakan ini merupakan hujah dan dalil mengenai keabsahan tentang hadith atau sunnah sebagai sumber kedua perundangan Islam.

No comments:

Post a Comment