Tuesday, January 1, 2013

Fahaman Politik Suku, Agama Suku

Sesungguhnya Al-Quran dan As-Sunnah itu bersifat rahmatan lil 'alamin (rahmat bagi sekelian alam). Petunjuknya merangkumi segala aspek kehidupan dari sekecil-kecil perkara seperti bersugi hingga kepada sebesar-besar perkara seperti hal-hal berkaitan pemerintahan (siyasah) atau juga disebut politik. Inilah juga sebab mengapa Allah menciptakan manusia itu untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Para ulama mufassirin sepakat mentakrifkan khalifah itu dengan makna 'Ia diadakan untuk menggalang ganti tugan kenabian di dalam perkara memelihara dan menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya(Islam)'.
Petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah bukan hanya berlegar-legar dalam perkara ibadah seperti solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadah yang bersifat habluminallah (hubungan makhluk terhadap Penciptanya) tetapi juga merangkumi aspek habluminannas (ibadah hubungan sesama manusia) seperti persoalan muamalat dan sosial manusia. Keimanan kepada Allah mestilah bersifat Uluhiyyah dan Rububiyyah.
Adapun pendapat mengatakan tidak mencampuri hal-hal politik atau siyasah atau menolak mengambil tahu dan terlibat dengan politik atau siyasah itu atau juga menafikan politik atau siyasah itu juga merupakan sebahagian tuntutan iman dan Islam atau juga menafikan adanya kaitan di antara Islam dengan politik dan hanya mahu menurut Al-Quran dan As-Sunnah sahaja merupakan pendapat yang bercanggah dengan petunjuk daripada kedua-dua sumber Islam yang paling tinggi itu.
Pendapat inilah yang juga boleh dinamakan fahaman 'politik suku, agama suku' dan sekiranya diungkapkan secara sedar boleh mencacatkan imannya atau ada yang tidak kena dengan 'aqidahnya. Ubudiyyah kepada Allah SWT hendaklah secara sempurna tanpa ada sebarang keraguan terhadap suruhan dan larangannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.." [Al Ahzab:36]

No comments:

Post a Comment