Monday, September 14, 2015

PERBANYAKKAN TAUBAT DAN MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA YANG SEDIKIT ITU

Perbanyakkan bertaubat dan jadilah sebahagian daripada yang sedikit itu.
Marilah kita memperbanyakkan taubat, kerana itu boleh memadamkan kemurkaan Allah SWT. Beristighfar (memohon ampun) dan bertaubat itu adalah saranan daripada Rasulullah SAW kepada kita semua sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:
“Demi Allah, sesungguhnya aku meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali” [Riwayat Al-Bukhari, Al Hafiz Ibnu Hajar Al Askalani, Fath al-Bari]
“Wahai manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya setiap hari 100 kali.” [Riwayat Muslim]
Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun, Maha Penyayang dan Maha Pengasih memang sentiasa menerima taubat hamba-hamba Nya yang benar-benar ikhlas dalam bertaubat dengan menyesali segala dosa-dosa dan maksiat yang telah dilakukan sebagaimana Firman-Nya:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعاً إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Az Zumar:53]
Sayangnya, mereka yang bertaubat dan menyesali serta menangisi akan dosa-dosa yang dilakukan amat sedikit jumlahnya dan sedikit pula dosanya. Imam Abu Abdullah Al-Qurtubi (Imam Qurtubi) di dalam tazkirahnya menyatakan, amatlah saying kebiasaanya orang yang bertaubat sepanjang hidupnya adalah orang yang sedikit mengerjakan dosa , dan jumlah orang yang seperti ini pun sedikit. Mereka ini ialah para alim ulama, para wali Allah, orang-orang yang benar dan soleh yang sentiasa bertaqarrub kepada Allah SWT di malam hari. Maka bagaimana kita yang dosa sudah tidak terhitung lagi??..Wahai saudara-saudaraku, maka marilah kita bertaubat kepada Allah SWT, moga-moga kita juga tergolong di dalam kelompok yang sedikit itu.
Semoga bermanfaat dan istiqomah dalam beramal.
Abu Durrah
01 Dzulhijjah 1436H
14 September 2015M
Bangi

No comments:

Post a Comment