Tuesday, August 11, 2015

Kelebihan Mengucap Salam

Kelebihan Mengucap Salam
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : والذي نفسى بيده لا تدخلوا الجنة حتى تؤمنوا، ولا تؤمنوا، حتى تحابوا اولا أدلوكم على شئ إذا فعلتموه تحاببتم؟ أفشوا السلام بينكم
( رواه مسلم)
Daripada Abu Hurairoh Radiyallahu 'Anhu katanya, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Demi diriku di dalam kekuasaan-Nya, kamu tidak akan masuk Syurga hingga kamu beriman dan tidak sempurna iman kamu hingga kamu berkasih sayang sesama muslim. Sukakah kamu jika aku tunjukkan kepada kamu suatu perkara yang apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih sayang? Sebarkan salam di antara kamu."
[Riwayat Muslim, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Kelebihan Kasih Kerana Allah, Imam Nawawi]
Ada 3 perkara yang apabila orang mampu melakukannya maka dia telah mengumpulkan keimanan:
1. Menginsafi diri. [Insaf membawa makna mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan dan melaksanakan seluruh tuntutan dan suruhan-Nya serta meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dan juga menunaikan hak-hak orang lain iaitu ahli masyarakat di sekelilingnya.]
2. Mengucap salam kepada orang alim; dan
3. Memberi derma dalam keadaan fakir. [ Ini kerana kebiasaannya jika seseorang itu dalam kesusahan adalah sukar baginya untuk menolong orang (bersedekah), maka jika sekiranya dia bersedia melakukan tuntutan ini (menolong dan bersedekah), maka dia adalah seorang yang yakin kepada janji Allah.]
Sememangnya kita digalakkan (sunat) untuk memberi salam kepada sesiapa sahaja berdasarkan hadith berikut:
عن عبد الله بن عمرو
أي الإسلام خير؟ قال : تطعم الطعام وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف
(متفق عليه)
Daripada Abdullah bin Amru r.a: Seorang lelaki bertanya Nabi SAW:'Manakah Islam yang paling baik?' Sabda Baginda yang bermaksud: 'Hendaklah engkau memberi makan & mengucap salam kepada mereka yang kamu kenal dan yang tidak kenal'.
[Riwayat Al-Bukhari & Muslim, Bab Mengucap salam, Hisnul Muslim, Sheikh Dr Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Semoga bermanfaat dan selamat beramal.
Abu Durrah
27 Syawal 1436H
12 Ogos 2015
Bangi

No comments:

Post a Comment