Monday, June 15, 2015

Doa Melihat Anak Bulan Menurut Sunnah Rasulullah SAW

Melihat anak bulan sangat sinonim dengan penentuan tarikh bilakah bermulanya bulan Ramadhan untuk umat Islam menunaikan ibadah fardhu tahunan bagi melengkapkan rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa dalam bulan Ramadhan.
Apabila melihat anak bulan, kita dituntut untuk melafazkan doa sebagai tanda melihat kebesaran dan keagungan Allah SWT sebagai Allah yang mencipta dan mentadbir sekelian 'alam sebagaimana yang kita imani akan Rububiyyah Allah SWT.
Sekurang-kurangnya lafazkanlah
اللَّهُ أَكْبَرُ (Allahu Akbar)
atau
اللَّهُ أَكْبَرُ، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ (Allahu Akbar, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah)
sebagai doa ketika melihat atau nampak anak bulan.
Seboleh-bolehnya berdoalah sebagaimana doa yang diajar oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadith daripada Abdullah Bin Umar berikut:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالَأمْنِ وَالإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالِإسْلَامِ، وَالتَّوْفِيقِِ لِمَا تُحِبُّ رَبَّنَا وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ
(Allaahu Akbar, Allaahumma ahillahu 'alayna bil amni wal iimaani, wassalaamati wal-Islaami, wattawfeeqi limaa tuhibbu Rabbanaa wa tardhaa, Rabbunaa wa Rabbukallaahu.)
"Allah Maha Besar, Ya Allah, terbitkanlah ke atas kami bulan sabit dengan membawa keamanan dan keimanan, kesejahteraan dan Islam, serta taufik untuk melakukan segala yang Engkau redha. Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah."
[Riwayat At-Tirmidzi & Ad-Darimi, Hisnul Muslim, Sheikh Dr. Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani]
Doa ini bukanlah terhad hanya apabila melihat anak bulan Ramadhan sahaja, tetapi doa ini bersifat umum untuk diucap atau diungkapkan apabila kita melihat anak bulan bagi setiap pertukaran bulan menurut Islam.
Beramallah dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kerana itulah sebaik-baik amalan.
Selamat Beramal
Abu Durrah
29 Syaaban 1436H
15 June 2015
Bangi

No comments:

Post a Comment