Wednesday, April 2, 2014

Adab Dan Doa Menaiki Tunggangan Atau Kenderaan

Allah mengajar manusia agar berdoa apabila mengenderai binatang atau kenderaan, sebagaimana Firman-Nya:
لِتَسۡتَوُ ۥاْ عَلَىٰ ظُهُورِهِۦ ثُمَّ تَذۡكُرُواْ نِعۡمَةَ رَبِّكُمۡ إِذَا ٱسۡتَوَيۡتُمۡ عَلَيۡهِ وَتَقُولُواْ سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَـٰذَا وَمَا ڪُنَّا لَهُ ۥ مُقۡرِنِينَ (١٣) وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (١٤)
Yang bermaksud:
“Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: “Maha Suci Engkau yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.”
[Az-Zukhruf: 13-14] Lihat Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Sheikh Abdullah Basmeih & Sohibul Fadhillah Datuk Haji Muhammad Noor Bin Haji Ibrahim, Darul Fikir, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Pusat Islam Kuala Lumpur]
Rasulullah SAW mengungkapkan doa ini ketika mengenderai tunggangan:
بِسْـمِ اللهِ وَالْحَمْـدُ لله، سُـبْحانَ الّذي سَخَّـرَ لَنا هذا وَما كُنّا لَهُ مُقْـرِنين، وَإِنّا إِلى رَبِّنا لَمُنـقَلِبون، الحَمْـدُ لله، الحَمْـدُ لله، الحَمْـدُ لله، اللهُ أكْـبَر، اللهُ أكْـبَر، اللهُ أكْـبَر، سُـبْحانَكَ اللّهُـمَّ إِنّي ظَلَـمْتُ نَفْسي فَاغْـفِرْ لي، فَإِنَّهُ لا يَغْفِـرُ الذُّنوبَ إِلاّ أَنْـت.
Yang bermaksud:
“Dengan nama Allah. Segala puji bagi Allah. Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya. Sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kami akan kembali. Segala puji bagi Allah, Segala puji bagi Allah, Segala puji bagi Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Maha Suci Engkau, aku telah menzalimi diriku. Ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.”
[Abu Dawud & Al-Tirmidzi] [Lihat Hisnul Muslim, Sheikh Dr, Said Bin Ali Wahf Al-Qahtani, dalam Fasal Doa Menaiki Kenderaan]
Adab dan berdoa menaiki kenderaan atau tunggangan menurut sunnah adalah seperti berikut:
1.
Menyebut nama Allah ‘ basmallah’ بِسْـمِ اللهِ
2.
Bertahmid 'memuji Allah' الْحَمْـدُ لله
3.
Membaca doa Surah Az-Zukhruf : 13-14, سُـبْحانَ الّذي سَخَّـرَ لَنا هذا وَما كُنّا لَهُ مُقْـرِنين، وَإِنّا إِلى رَبِّنا لَمُنـقَلِبون
4.
Bertahmid 'memuji Allah' 3x الْحَمْـدُ لله
5.
Bertakbir 'mengagungkan Allah' 3x اللهُ أكْـبَر
6.
Memohon keampunan. سُـبْحانَكَ اللّهُـمَّ إِنّي ظَلَـمْتُ نَفْسي فَاغْـفِرْ لي، فَإِنَّهُ لا يَغْفِـرُ الذُّنوبَ إِلاّ أَنْـت.
Lafaz doa yang disebut oleh Rasulullah SAW ketika menaiki tunggangan (kenderaan) adalah daripada surah Az-Zukhruf ayat 13 dan 14 diiringi dgn menyebut nama Allah dan tahmid sebelumnya dan tahmid, takbir serta memohon keampunan selepasnya.
Ini berdasarkan kisah sebagaimana hadith daripada Ali bin Rabi’ah:
Aku melihat Amiral Mukminin Sayyidina Ali mendapat seekor haiwan sebagai tunggangannya. Semasa Sayyidina Ali menginjakkan kakinya di pelana, beliau menyebut nama Allah بِسْـمِ اللهِ. Sesudah berada di atas tunggangannya beliau bertahmid الْحَمْـدُ لله. Kemudian membaca doa سُـبْحانَ الّذي سَخَّـرَ لَنا هذا وَما كُنّا لَهُ مُقْـرِنين، وَإِنّا إِلى رَبِّنا لَمُنـقَلِبون yang bermaksud “Maha Suci Engkau yang menundukkan semua ini untuk kami, padahal sebelumnya kami tidak mampu menguasainya dan sesungguhnya hanya kepada kami akan kembali kepada Tuhan kami.”
Selepas itu, Sayyidina Ali bertahmid الْحَمْـدُ لله sebanyak 3 kali, bertakbir اللهُ أكْـبَر sebanyak 3 kali seraya berdoa, سُـبْحانَكَ اللّهُـمَّ إِنّي ظَلَـمْتُ نَفْسي فَاغْـفِرْ لي، فَإِنَّهُ لا يَغْفِـرُ الذُّنوبَ إِلاّ أَنْـت. “ Maha Suci Engkau, Ya Allah! Sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri, oleh itu ampunkanlah aku. Sesungguhnya, hanya Engkau yang dapat mengampuni dosa kami.”
Kemudian, Sayyidina Ali tertawa. Lalu aku pun bertanya kepadanya. “Wahai Amiral Mu’minin, mengapakah tuan tertawa?” lalu dijawab oleh sayyidina Ali, “Aku melihat Rasulullah SAW melakukan sama seperti yang aku lakukan tadi, lalu beliau tertawa. Aku (Sayyidina Ali) pun bertanya kepada Baginda SAW, ‘Mengapa kamu tertawa, wahai Rasulullah SAW?’ Jawab Baginda, ‘Sesungguhnya, Tuhanu kagum kepada hamba-Nya yang berdoa, Wahai Tuhanku! Ampunilah dosa-dosaku, dan dia menyedari hanya Allah sahaja yang dapat mengampuni segala dosa.’”
[Lihat As-Syamail Al-Muhammadiyyah, Imam Al-Tirmidzi, Hadith 226 dalam Bab Cara Rasulullah SAW Tertawa]
[Imam At-Tirmidzi berkata hadith ini hadith hasan. Diterangkan di dalam sebahagian kitab dianggap hasan sahih, hadith di atas lafaznya oleh Imam Abu Dawud, Lihat Riyadh al Solihin, Bab Bacaan Ketika Menaiki Kenderaan, Imam Nawawi]
Juga hadith riwayat Imam Muslim, Abu Dawud, Al-Tirmidzi, Al-Nasa’ie, Hakim dan Ibn Mardawayh daripada Ibn ‘Umar, bahawasanya Rasulullah SAW apabila bermusafir dengan menunggang unta, pasti Baginda bertakbir tiga kali kemudian mengucap سُـبْحانَ الّذي سَخَّـرَ لَنا هذا وَما كُنّا لَهُ مُقْـرِنين، وَإِنّا إِلى رَبِّنا لَمُنـقَلِبون
[Lihat Tafsir Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa Al Maraghiy, dalam Huraian ayat 13 Surah Az-Zukhruf]
Doa ini diakhiri dengan memohon keampunan, kenapa kita diajar atau disuruh memohon keampunan diakhir doa ini? Jelaslah kerana menunggang, menaiki, memandu atau mengawal binatang tunggangan atau kenderaan itu merupakan perbuatan yang ada risiko dan bahaya kepada penunggang serta penumpang tunggangan itu. Sekiranya binatang tunggangan itu mengamuk atau meronta-ronta dan tidak menurut arahan boleh mengakibatkan penunggang itu tercampak lalu meninggal dunia, begitu juga kenderaan, kapal atau seumpamanya boleh sahaja terbabas, terhempas, tenggelam mahupun bertembung yang boleh mengakibatkan kematian.
Kemudian Allah SWT menyuruh manusia agar sentiasa mengingati mati ketika mengenderai binatang atau menaiki kapal (kenderaan) dan mengingatkan kepada mereka bahawasanya kematian akan menjemput kita sama ada dalam kenderaan atau di mana sahaja kita berada. Ingatlah, bahawa kita semua akan kembali kepada-Nya.
[Lihat Tafsir Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa Al Maraghiy, dalam Huraian ayat 13 dan 14 Surah Az-Zukhruf]
Semoga kita dapat beramal dengan apa yang ditunjukajar oleh Rasulullah SAW mudah-mudahan dengan mengamalkan sunnah ini maka diberi ganjaran oleh Allah akan kita dan diangkatnya sebagai amalan kita yang soleh di sisi-Nya. Insha Allah. Amin.
Abu Durrah
Bangi
02 Jamadil Akhir 1435H
02 April 2014

No comments:

Post a Comment