Wednesday, January 30, 2013

Landasan Operasi Jaringan Islam Liberal (JIL)

1. Menerima sekularisma sebagai asas membangunkan masyarakat dan negara iaitu dengan memisahkan elemen agama (syariah Islam) dalam urusan politik atau pemerintahan negara. Ini dapat difaham dengan dengan jelas merujuk kepada misi JIL yang keenam iaitu “..yakin bahawa kekuasaan (otoritas) keagamaan dan politik harus dipisahkan.”
Ini jelas bertentangan dengan Islam sebagai satu addin (cara hidup) yang lengkap dan sempurna. Islam bukan satu agama yang bersifat upacara ibadat (ritual) tetapi ia adalah satu ajaran atau petunjuk Ilahi dalam mengatur cara hidup manusia dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada soal mentadbir dan memerintah negara. Memisahkan agama (Islam) dengan soal pemerintahan adalah satu jenayah dan dosa yang boleh membawa kepada rosaknya iman seseorang yang mengaku Islam dan boleh dianggap telah terkeluar dari Islam.
As Syeikh Dr Yusuf Al Qardhawi di dalam kitabnya “Pertentangan Islam dan Sekular” menegaskan ‘Seorang muslim yang menerima sekular – walaupun dia hanya sebagai seorang penganut sekular yang sederhana sekalipun – adalah berada pada pihak yang menentang Islam, khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan berhukumkan syariah yang dibawa oleh Kitab Allah dan Rasul-Nya.
Fahaman sekularisma ini juga jelas bertentangan dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Mereka yang apabila kami kukuhkan mereka di bumi mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat dan mereka menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mereka mencegah dari berbuat yang mungkar dan kepada Allah jualah akibat dari segala urusan” [Al Hajj : 41],
dan juga bersalahan dengan apa yang telah disepakati oleh ulama-ulama mufassirin bahawa tugas manusia itu ialah sebagai khalifah iaitu “menggalang ganti tugas kenabian di dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya (Islam).”
2. Mendokong konsep dualisma, rujuk landasan operasi yang keenam “memisahkan hak (otoritas) duniawi dan ukhrawi”.
Pernyataan ini secara terang-terangan mempertahankan dualisma dalam urusan kehidupan yang menolak hubung kait atau kombinasi diantara wahyu dan akal atau antara yang Ilahi dengan yang Insani.
Dualisma dan Sekularisma adalah dua fahaman yang seiring, ini kerana konsep dualisma apabila diterapkan di awal pertumbuhan akal manusia (sistem pendidikan) ianya akan menjauhkan manusia daripada Tuhannya dan akhir sekali menghasilkan buah sekularisma iaitu agama hanyalah satu bentuk upacara ibadat semata-mata tanpa ada hubungan dalam urusan kehidupan manusia.
3. Jika dirujuk kepada landasan operasi mereka yang kedua, golongan ini cuba untuk memberi ruang kepada semua individu untuk berijtihad dan mengenepikan disiplin-disiplin ilmu yang mesti dipatuhi dalam mengeluarkan ijtihad.
Konsep ijtihad dalam tanggapan mereka hendaklah dibebaskan semutlaknya dari ikatan-ikatan fuqaha dan usuliyy. Mereka memberi penekanan bahawa ijtihad sesuatu perkara mestilah mengutamakan semangat etika beragama (religio etik) bukan kepada asas petunjuk nas-nas Al-Quran dan As Sunnah. Setiap ayat Al-Quran itu ada sebab turunnya (asbabun Nuzul) dan ditujukan kepada golongan tertentu yang juga diaplikasikan kepada umat yang terkemudian begitu juga dengan hadith, ada asbab wurudnya.
Oleh itu, ijtihad perlu merujuk dahulu kepada kedua-dua sumber ini sebagai rujukan tertinggi dalam disiplin ilmu dan bukannya mengutamakan atau meraikan semangat religio etik. Inilah yang difahami oleh generasi awal Islam yang terkenal dengan gelaran as sabiqun al awwalun itu, sebagaimana hadith Muadz Bin Jabal apabila di utuskan ke Yaman, yang bermaksud:
“Bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Muaz menjawab:’ Saya akan memutuskan hukum berdasarkan Kitab Allah S.W.T.’ Nabi bertanya lagi,’ Sekiranya kamu tidak mendapati didalam Kitab Allah?’ Jawab Muaz.’ Saya akan memutuskan berdasarkan Sunnah.’ Tanya Nabi lagi,’ Sekiranya engkau tidak menemui didalam Sunnah?’ Muaz menjawab,’ Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda,’ Segala puji bagi Allah yang telah member taufiq kepada utusan Rasulullah S.A.W. ke arah sesuatu yang diredhainya.” [Riwayat Ahmad dan Abu Daud].
Inilah prinsip-prinsip utama dalam berijtihad yang kemudiannya barulah dibahaskan dalam lingkungan usul fiqh dalam menerbitkan sesuatu hukum. Ijtihad walaupun dibuka tetapi ianya tidak boleh dilakukan oleh semua orang atas nama kebebasan berfikir dan mencambah pemikiran, ini kerana orang yang layak berijtihad perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut:
i. Islam dan bersifat adil.
ii. Baligh.
iii. Mengetahui nas dan dalil yang berkaitan dengan hukum hakam walaupun tidak menghafalnya.
iv. Mengetahui tentang dalil akal dan kehujahannya.
v. Mengetahui tentang al-Quran dan hadis beserta makna-maknanya dari sudut bahasa dan syariat.
vi. Mengetahui tentang qiyas iaitu merangkumi illah, hikmat, kemaslahatan masyarakat serta ’urf.
vii. Mampu mengetahui mengenai masalah-masalah ijmak serta tempat-tempat berlaku ijmak. Ini kerana agar mereka tidak mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengannya.
viii. Mengetahui serta memahami bahasa Arab dengan baik dan sempurna agar dapat mentafsirkan al-Quran dan Hadis dengan baik serta dalam mengistinbatkan hukum.
ix. Mengetahui tentang nasikh mansukh daripada al-Quran dan Hadis.
x. Mengetahui ilmu Usul Fiqh kerana ia merupakan asas dalam berijtihad dan istinbat hukum.
xi. Mempunyai kefahaman yang baik supaya dapat membezakan antara pendapat yang benar dan yang salah.
xii. Mengetahui tentang sebab nuzul ayat dan sebab datangnya hadis atau asbab wurud hadis serta syarat hadis mutawatir dan Ahad.
Semangat religio etik hanyalah datang kemudian sebagai asas kemajmukan masyarakat dan diambil hanya sebagai uslub menyampaikan da’wah bukannya dijadikan rujukan utama dan tertinggi dalam mengeluarkan ijtihad.
4. Golongan ini mendokong satu kefahaman mengenai Pluralisme Agama, iaitu semua agama adalah sama di mana semuanya menuju kepada tuhan yang satu. Perbezaan hanya pada cara sampai kepada tuhan tersebut. Fahaman ini menganggap bahawa agama bersifat inklusif termasuk dalam perkara ‘aqidah dan ibadah sedangkan Islam adalah bersifat eksklusif. Ini bertentangan dengan tauhid (iman) yang menjadi intipati kalimah syahadah yang menjadi rukun wajib mengenai keislaman seseorang. Ini diperjelaskan lagi menerusi Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir!. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku.” [Al Kaafiruun : 1-6]
Sebenarnya ajaran Islam terkandung di dalam kalimah"La ilaha illallah" (tidak ada Tuhan melainkan Allah), di dalam ertikata yang sebenarnya: bererti tunduk dan patuh hanya kepada Allah. Oleh itu, apabila kalimah "La ilaha illallah" dibaca oleh Rasulullah SAW kepada seorang Arab Badwi yang fasih berbahasa Arab dan mengetahui selok belokmaksudnya, telah berkata kepada Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Ini satu kalimah yang baik tetapi tidak akan disenangi oleh sekalian raja-raja, engkau akan diperangi oleh bangsa Arab dan bukan Arab."
Walaubagaimanapun, aspek inklusif itu dibolehkan dalam hal-hal hubungan sesama manusia, iaitu Islam membenarkan penganutnya bermuamalat atau bersama-sama dengan non-muslim dalam hal-hal kemasyarakatan, jual beli, tolong menolong dalam hal-hal kebaikan dan kebajikan, menentang kezaliman, menolong mereka yang lemah dan sebagainya guna untuk mendapatkan sebuah kehidupan yang aman dan kondusif untuk semua.
5. Landasan operasi golongan ini yang ‘menyakini kebebasan beragama’ bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Islam tetapi ianya tidak boleh diaplikasikan kepada seorang muslim. Islam mengiktiraf kebebasan beragama dalam konteks seseorang yang bukan Islam tidak boleh dipaksa supaya menerima, memeluk dan menganut ajaran Islam. Umat Islam disuruh berda’wah kepada bukan Islam tetapi tidak boleh memaksa untuk menerima dan memeluk Islam kerana mereka berhak untuk mengamalkan agama kepercayaan nenek moyang mereka dan inilah yang dikatakan kebebasan beragama. Ini berdasarkan kepada Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)…” [Al Baqarah : 258]
Salah satu dari asas agama Islam ialah tidak adanya sesuatu paksaan dalam hal menerima Islam. Ini kerana iman yang diakui ialah iman yang terbit daripada pilihan sendiri dan keyakinan.
Walaubagaimanapun, seorang muslim tidak boleh meninggalkan Islam atas alasan kebebasan beragama. Ini kerana seorang muslim tidak dibenarkan meleraikan ikatan syahadahnya iaitu keimanan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan sekiranya ingkar maka hukuman berat menantinya. Islam tidak mengizinkan ‘aqidah dipermainkan dengan seseorang itu masuk Islam pada hari ini dan keluar esoknya.

No comments:

Post a Comment